,

Sumayyah Yang Dicemburui

Sumayyah adalah watak terpenting yang boleh menjadikan inspirasi kepada kita semua. Kisahnya telah memberikan tamparan hebat kepada diri kita yang mempunyai kelebihan lebih hebat berbanding beliau yang menjadi seorang hamba pada satu manusia.

Untuk mencari manusia sekental Sumayyah pada hari ini agak sukar dan susah. Kerana kita telah dikaburi oleh habuan harta dan pangkat. Ditaburkan dengan pengaruh dan kuasa. Dek kerana itu, kita menjadi lemah dan longlai. Masih berkira-kira tenaga, masa dan harta untuk menyambung kerja warisan para nabi dan rasul.

Kisah Sumayyah telah mengajarkan kita erti keberanian dan berkorban yang sangat besar dan teramat bernilai harganya. Pengorbanan nyawa adalah suatu tingkatan yang paling tinggi kedudukkannya.

Sewaktu itu, keluarga Yassir, yang terdiri daripada anaknya yang bernama Ammar dan isterinya bernama Sumayyah, diheret ke tengah padang pasir, diseksa dan dipukul hanya oleh kerana mereka mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW yakni agama Islam.

Ketika itu, di saat awal penyebaran Islam di Makkah, umat Islam masih belum mempunyai kekuatan yang utuh. Hampir lebih kurang 100 orang sahaja memeluk agama Islam.

Islam sewaktu itu masih belum mempunyai bala tenteranya. Belum mempunyai kuasa pemerintahan yang kukuh. Apatah lagi mahu diberi pertolongan kerana Islam ketika itu masih dalam keadaan minoriti.

Jika dibandingkan dengan zaman kita sekarang, jauh lebih hebat dari zaman dahulu. Kini, kita sudah mempunyai umat yang ramai. Malah menjadi majoriti di dunia. Dalam majoriti tersebut, kita sudah pun memiliki negara yang mempunyai pemerintahan Islam.

Berbeza pada zaman tersebut, mereka menjadi kaum minoriti, diseksa dan dipukul dengan penuh kebencian dan kezaliman. Paling menyedihkan, seorang wanita hamil yang juga merupakan isteri kepada Yassir dan ibu kepada Ammar, ditusuk dengan perlahan, dengan menggunakan tombak yang amat tajam matanya.

Dalam keadaan tersebut, Sumayyah tetap kental dan cekal, menahan segala seksaan ke atas dirinya, lantas tetap berpegang teguh kepada Islam, dengan keras hatinya beliau tetap pertahankan pendiriannya untuk kekal berterusan mentauhidkan Allah.

Pada masa yang sama, episod kekejaman tersebut tidak terhenti setakat itu, Yassir diikat di tengah padang pasir lalu diseksa dengan sekeras-kerasnya. Bertambah lagi duka derita, anak mereka iaitu Ammar, disalai diatas api yang sangat panas.

Mereka sekeluarga diseksa dengan tidak diberi makan, mereka berlapar dan dahaga diatas padang pasir yang panas dan kering-kontang keadaannya. Akhirnya, kerana mempertahankan Islam, Sumayyah dan Yassir menyahut seruan ilahi, mati syahid dengan disaksikan oleh anak mereka iaitu Ammar yang telah terselamat dengan izin Allah.

Demikian hebatnya mereka yang dikatakan sahabat Nabi, diseksa dan diuji kerana mempertahakan Islam.

Agama Islam yang datang kepada kita hari ini, telah disebarkan dengan nilai mahar nyawa dan titisan darah mereka yang terdahulu. Kerana pengorbanan mereka, kita pada hari ini dapat menikmati islam dengan aman, sejahtera dan damai.

Hasil dari titisan darah mereka, Islam tersebar luas tanpa perlu kita mengorbankan nyawa dan segalanya. Ketahuilah bahawasanya, berdirinya kita sebagai muslim pada hari ini, adalah kerana susah payah mereka yang terdahulu, yang sanggup mengorbankan nyawa, keluarga, harta dan segalanya demi menegakkan agama Islam yang tercinta.

Berbeza jauh dengan kita pada hari ini. Di saat dan ketikanya, kita mempunyai segala kekuatan, kemudahan dan kesenangan hidup, kita masih teragak-agak untuk mengikuti kerja dakwah.

Sebahagiannya ada yang masih berkira-kira dengan masa, tenaga dan harta, sedangkan Sumayyah, hanya seorang wanita biasa, yang kerjanya siang malam untuk memenuhi keperluan tuannya sahaja, namun iman di dadanya tetap utuh dan teguh.

Meskipun di ancam dengan tombak yang tajam, diugut dengan menyiksa suami dan anak tercinta. Kerana agama, biar tercabut kasih pada dunia, asalkan tidak hilang cinta pada Nya.

Inilah sikap yang semakin hari semakin hilang dalam dada umat Islam. Masing-masing mengejar kepentingan duniawi sehingga terlupa kehidupannya di akhirat sana.

Dalam perjalanan kembara hidup ini, untuk mencari seseorang yang sekental Sumayyah, amatlah sukar dan susah. Namun tidak dinafikan, pada zaman milinea ini, ada sebilangan daripada kita, ada yang sanggup mengorbankan masa cutinya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah.

Ada juga sebilangannya yang sanggup mengorbankan wang dan hartanya bagi menampung kos perjalanannya untuk berdakwah. Tidak kurang pula, ada yang sanggup meninggalkan anak isteri dan keluarga tercintanya, demi menyahut seruan pekerjaan warisan para Nabi ini.

Barangkali kesemua pengorbanan ini kelihatan sangat kecil dan tidak bernilai dikaca mata manusia, namun percayalah, ia amat besar dan bermakna di sisi Allah. Dakwah, bukanlah urusan pak ustaz semata-mata.

Tugas mempertahankan Islam bukanlah kuasa jabatan agama sahaja, malah menjadi tanggungjawab setiap muslim yang mentauhidkan Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.