, ,

Masyarakat Melayu Begitu Dekat Dengan Mazhab Syafi’i

Ketika zaman kesultanan Melayu, kebanyakan undang-undang yang digubal di negeri Tanah Melayu dipengaruhi oleh mazhab Syafi’i kerana pada waktu itu majoriti masyarakat Islam di Tanah Melayu mengikut mazhab Syafi’i, hanya sebilangan kecil sahaja dipengaruhi mazhab lain.

Bukan itu sahaja, malah bentuk penulisan undang-undang Islam juga kuat dipengaruhi oleh tradisi penulisan Islam, yang dimulakan dengan puji dan syukur kepada Allah dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam.

Selain itu, undang-undang Islam yang ditulis pada ketika itu jelas membuktikan bahawa Tanah Melayu telah lama melaksanakan undang-undang tersebut dalam kalangan masyarakat.

Ia menjadi asas kepada pentabiran sesebuah negara bagi memberi jaminan keamanan kepada rakyat.

Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah sememangnya di bawah kekuasaan umat Islam, sebab itulah mudah untuk melaksanakan undang-undang Islam yang turut menjadi undang-undang negara pada waktu itu dan mazhab yang diikuti ialah mazhab Syafi’i.

Namun, apabila datang sahaja British ke Tanah melayu, usaha pengkanunan undang-undang Islam terhenti begitu sahaja kerana mereka melaksanakan Undang-undang Inggeris yang tidak berpaksikan kepada Al-Quran dan sunnah.

Jadi, sebagai Muslim yang hidup pada masa kini, kita perlu faham bahawa hukum atau undang-undang yang diputuskan Allah merupakan sesuatu yang benar, malah sudah pasti kita tidak boleh menafikan hukum apatah lagi mengubahnya tanpa suatu asas yang dibenarkan Allah.

Wallahu’alam.