Apabila utusan bani Thaqif dari Thaif bertemu Rasulullah, masuk Islam dan melakukan perjanjian damai, mereka ada bertanya: “Menurutmu bagaimana berhala rabbah?”
Rasulullah menjawab: “Hancurkan.” Mereka berkata: “Tidak mungkin, seandainya engkau tahu berhala rabbah yang kami buat sendiri kemudian kami hancurkan, pasti engkau akan membunuh keluarga kami.”
Setelah perjanjian damai, mereka cuba lagi memujuk Rasulullah supaya memberi tempoh masa tiga tahun supaya berhala rabbah tidak dihancurkan, tetapi Baginda menolak.
Mereka cuba menawar satu tahun pula, tetapi Baginda tetap menolak. Sama juga ketika mereka menawar tempoh masa satu bulan supaya berhala rabbah itu tidak dihancurkan, Baginda tetap menolak.
Tujuan mereka tidak lain kerana khuhatir dengan rakyat yang masih lemah akal, wanita, dan kanak-kanak, malah mereka tidak mahu membuat kaum mereka takut dengan menghancurkan berhala itu secara tiba-tiba.
Akhirnya, mereka meminta kepada Rasulullah supaya jangan mereka yang ditunjukkan untuk menghancurkan berhala itu, lalu Baginda bersetuju dan akan diutuskan kaum Muslimin untuk menghancurkannya.
Mereka ada meminta supaya tidak perlu melaksanakan perintah solat. Lalu, Baginda bersabda: “Tidak ada kebaikan dalam agama yang tidak ada solatnya.”
Mereka juga sempat berunding lagi supaya mereka hanya perlu melakukan sebahagian kewajipan dan membenarkan sebahagian larangan dalam kehidupan mereka. Namun, sudah semestinya Rasulullah menolak.
Maka, mereka hanya tunduk dan patuh pada apa yang dikehendaki Islam, bukannya mengikut hawa nafsu.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)