, ,

Kenapa Masjid Dhirar Diperintahkan Allah Supaya Dirobohkan?

Ketika Rasulullah dalam perjalanan pulang dari perang Tabuk ke Madinah, turun ayat Al-Quran:

Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam),

dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu.

Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.

Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

(At-Taubah 9:107-108)

Masjid Dhirar dibina oleh golongan munafik sebelum Rasulullah ke perang Tabuk.

Mereka meminta Baginda untuk solat di sana, tetapi Allah memelihara Baginda untuk tidak solat di situ, kata Baginda: “Kami akan pergi, tetapi insyaAllah ketika kembali nanti (selepas perang Tabuk)…”

Setelah itu, dalam perjalan pulang dari perang Tabuk, malaikat Jibril turun memberitahu tentang tujuan Masjid Dhirar itu dibina, iaitu atas dasar kekafiran dan memecah belah jemaah orang-orang mukmin di masjid.

Akhirnya, Rasulullah mengirim pasukan kaum Muslimin untuk menghancurkan masjid itu sebelum Baginda tiba di Madinah.

Allah menggagalkan perancangan kaum munafik yang berusaha memecah belahkan kaum Muslimin.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)