, ,

Kenapa Berlakunya Perang Tabuk Pada Tahun Ke-9 Hijrah?

Ada beberapa sebab kenapa berlakunya perang ini.

Antara sebabnya ialah apabila Rasulullah mendengar berita daripada masyarakat awam yang membawa minyak dari Syam ke Madinah, mereka mengatakan bahawa Romawi menggerakkan pasukan dengan menarik kabilah Lakham, Judzm dan kabilah Arab lain yang bertujuan untuk memerangi kaum Muslimin.

Maka, Rasulullah ingin memerangi mereka terlebih dahulu sebelum mereka melakukan sedemikian.

Antara sebab lain pula ialah Ibnu Katsir berpandangan bahawa perang Tabuk berlaku adalah kerana kewajipan jihad, maka Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bertekad untuk memerangi Romawi kerana mereka adalah kaum luar Arab yang terdekat malah mereka layak untuk diseru kerana mereka dekat dengan Islam dan kaum Muslimin.

Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu;

dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).”

(Surah At-Taubah 9:123)

Kedua-dua sebab itu saling tidak bertentangan kerana hakikatnya ia adalah landasan hukum jihad bagi kaum musyrikin yang secara terang memperlihatkan permusuhan terhadap kaum Muslimin.  

Jadi, kaum Muslimin begitu berjaga-jaga dengan kedatangan pihak musuh pasukan Ghassan dari Syam.

Perkara ini jelas melalui peristiwa yang dialami Umar bin Khattab, apabila Rasulullah bersumpah untuk tidak mencampuri isteri-isteri Baginda selama sebulan dan meninggalkan mereka untuk fokus kepada urusan jihad, seperti yang dinyatakan di dalam kitab hadith Sahih Bukhari.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)