Ketika Rasulullah berada dalam perang Tabuk dan di hadapannya ada beberapa orang munafik, mereka berkata: “Orang itu (Rasulullah) berharap boleh menakluki istana-istana dan benteng-benteng Syam? Tidak mungkin, tidak mungkin.”
Lalu, Allah memberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah, kemudian Baginda berkata: “Tahan rombongan itu.”
Baginda mendatangi mereka dan berkata: “Kamu cakap begini dan begitu.” Mereka membalas: “Apakah Allah menurunkan ayat berkenaan kami seperti yang engkau dengar?”
Kemudian, Allah menurunkan ayat yang bermaksud:
Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran).
Katakanlah (wahai Muhammad): “Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai)”
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”.
Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
(Surah At-Taubah 9:65)
Pertanyaan dalam ayat tersebut iaitu: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” merupakan kata tanya dalam bentuk pengingkaran.
Setelah itu, Allah menjelaskan ejekan mereka itu menyebabkan mereka kafir. Allah berfirman:
“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.
Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.”
(Surah At-Taubah 9:66)
Wallahu’alam.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)