, ,

Kebahagiaan Rumah Tangga Bermula Daripada Memilih Pasangan Hidup Yang Mengutamakan Islam

Islam begitu meraikan fitrah manusia yang ingin rasa mencintai dan dicintai.

Maka, bagi menjaga keturunan dan generasi manusia, Islam menghalalkan perhubungan lelaki dan wanita melalui ikatan perkahwinan yang sah, yang memenuhi segala rukun dan syarat nikah.

Sesebuah perkahwinan bermula daripada proses memilih calon pasangan yang betul.

Banyak dalil yang membicarakan tentang kepentingan untuk memilih pasangan berdasarkan agama, bukan hanya sekadar kecantikan, harta atau keturunan semata-mata.

Tanpa agama, bagaimana generasi yang akan datang dididik dengan pengetahuan Islam yang benar?

Lalu, di samping mencari calon pasangan yang menjadikan agama sebagai way of life, kita sendiri perlu sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan melengkapkan diri dengan ilmu agama.

Jangan sehingga kita sibuk mencari pasangan yang baik, tetapi kita sendiri tidak mahu menjadi baik.

Setelah bertemu dengan calon pasangan yang diyakini, Islam membenarkan lelaki dan perempuan tersebut untuk bertunang, sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 235 iaitu digunakan perkataan khitbah (meminang).

Namun, harus diingat! Bertunang bukannya ‘lesen’ untuk keluar berdua-duaan dan seronok kerana hubungan tersebut masih lagi haram!

Kebaikan pertunangan yang dilakukan sebelum perkahwinan itu sendiri adalah sebagai satu bukti bahawa hubungan yang dibina bukan hanya sekadar untuk berfoya-foya, tetapi mempunyai visi yang jelas iaitu melalui ikatan pernikahan yang sah dalam usaha mencari redha Allah.

Malah, waktu pertunangan adalah waktu yang dibenarkan untuk mengenali pasangan tetapi masih lagi dalam batasan syarak, tidak boleh sesuka  hati untuk dating, calling atau texting tanpa urusan yang penting, kerana sekali lagi diingatkan, hubungan mereka berdua masih lagi bukan mahram.

Sebaiknya, libatkan keluarga jika mahu berbincang mengenai urusan perkahwinan.

Pertunangan adalah perjanjian antara dua pihak, jadi hubungan tersebut tidak boleh diputuskan sesuka hati tanpa ada alasan yang munasabah.

Namun, sekiranya dirasakan bahawa memang tidak serasi, boleh sahaja pertunangan itu dibatalkan dengan persetujuan bersama, malah lebih baik hubungan itu diputuskan awal ketika pertunangan daripada diputuskan ketika perkahwinan (iaitu cerai).

Akhir kata, bagi yang sudah dalam proses untuk berkahwin, moga Allah permudahkan urusan kalian, jaga batasan dan sentiasa berdoa pada Allah agar hubungan tersebut mendapat redha-Nya.

Bagi yang belum ketemu calon pasangan, jangan berputus asa, persiapkan diri dengan ilmu agama, fizikal dan mental, jangan risau kerana Allah akan ketemukan juga dengan calon pasangan dalam keadaan kamu sendiri pun tidak sangka, insyaAllah.