, ,

Pembahagian Harta Rampasan Perang Khaibar

Perang Khaibar adalah antara perang yang memberikan harta rampasan perang yang terbanyak antara perang-perang lain.  

Antara harta yang diperoleh kaum Muslimin ialah makanan, pakaian, perabot, haiwan, tawanan, tanah, ladang, dan lembaran kitab taurat.

(1) Makanan

Kaum Muslimin mendapat banyak makanan dari benteng-benteng Khaibar yang telah ditawan, antaranya ada minyak, madu, keju dan lain-lain.

Maka, Rasulullah memberi kebenaran kepada para sahabat untuk makan dan tidak memasukkannya sebagai harta rampasan perang.

(2) Pakaian, perabot, haiwan (unta, sapi dan kambing)

Rasulullah mengambil satu perlima bahagian dan diberikan kepada golongan yang telah ditentukan Allah.

Selebihnya pula diagihkan untuk para sahabat yang ikut serta dalam perang.

(3) Tawanan

Kaum Muslimin mendapat ramai tawanan orang yahudi. Lalu, mereka diagihkan kepada tentera Islam supaya boleh dijadikan sebagai pembantu.

(4) Tanah dan ladang

Rasulullah membahagi tanah dan pohon kurma kepada 36 bahagian, dan 1 bahagian terdiri daripada 100 bahagian kecil, maka jumlah keseluruhannya ialah 3600 bahagian.

Baginda dan para sahabat mendapat separuh iaitu 1800 bahagian, separuh bahagian lagi untuk wakil Muslimin yang mengurus urusan-urusan kaum Muslimin.

(5) Lembaran kitab Taurat

Ketika lembaran kitab Taurat dirampas semasa perang, Rasulullah memulangkan semula apabila kaum yahudi meminta agar kitab tersebut dikembalikan.

Betapa hebatnya Islam, hebatnya Rasulullah apabila tidak melakukan tindakan seperti yang dilakukan bangsa Romawi iaitu ketika mereka menakluki suatu kota, mereka membakar kitab-kitab suci dan memijaknya.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)