,

Marah Biarlah Kerana Allah

Kita semua tidak dapat mengelak daripada perasaan tidak puas hati atau marah terhadap sesuatu situasi.

Kita tidak sengaja meninggikan suara dan mula menyalahkan pihak lain. Tapi hakikatnya bolehkah kita marah?

Ya. Pastinya boleh.

Namun marah juga ada adabnya. Sebelum kita pergi kepada cara menangani atau mengawal perasaan ini, kita perlu lihat dahulu punca seseorang itu menjadi marah.

Antara sebab seseorang menjadi marah adalah kerana berlebihan dalam bergurau senda atau melampaui batas, takjub terhadap peribadi sendiri, sifat bangga diri, bercakap sia-sia, suka berbantah dalam sesuatu perkara, gemar membuat fitnah, khianat, tamak, iri hati dan kegagalan dalam mengawal nafsu serta emosi.

Menurut Imam al-Ghazali, marah terdiri daripada beberapa jenis iaitu; tidak tahu marah, cepat marah (tidak bertempat), marah pertengahan, dan marah keterlaluan.

Dalam banyak-banyak jenis marah ini, marah yang paling terpuji adalah marah jenis pertengahan. Marah ini sangat dipuji kerana menzahirkan marah pada tempatnya.

Seperti ibu atau ayah menegur anak yang tidak solat, atau marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga boleh mengistiharkan perang ke atasnya.

Marah kerana Allah adalah kerana hukum Allah yang dilanggar dan diabai.

Antara cara mengawal marah adalah seperti terus bertaawuz (untuk memohon perlindungan daripada Allah), berdiam diri, mengambil wuduk, mandi atau ubah posisi seperti ada disebut dalam hadis;

“Jika salah seorang antara kalian marah ketika berdiri, maka hendaklah dia duduk. Apabila tidak hilang juga, hendaklah dia berbaring.” (Hadith riwayat Ahmad)

Marah perlu dikawal. Antara hikmah kita menahan marah adalah untuk mengelak masalah menjadi lebih besar, mengelakkan tindakan melulu yang memberi kesan yang mungkin akan dikesalkan, dan usaha untuk  menjauhi penyakit (seperti tekanan) dalam diri seseorang jika tidak dapat dibendung.

Allah sukakan orang yang berbuat kebaikan. Sabar dan memaafkan adalah sifat yang sangat baik. Rasulullah SAW sendiri membalas kejahatan dengan kebaikan.

Memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, jika marah dapat dikawal, semuanya akan berada dalam kawalan. Insya-Allah.

Jom kita kawal perasaan marah kita!

Biarlah marah secara sederhana dan untuk perkara yang betul. Jika pun marah, biarlah kerana Allah, bukan kerana rasa marah itu sendiri.

Nabi banyak kali berpesan jangan marah, tentunya pesanan itu ada hikmah yang besar. Marah tidak salah, namun hakikatnya sabar itu lebih indah! Renung-renungkan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%