,

Kembalilah

Walau sejauh manapun kita lalai dalam hidup ini, usaha kita untuk sentiasa dekat dengan Allah SWT janganlah pernah diputuskan.

Semoga pintu keampunan dan rahmat sentiasa terbuka buat kita.

Saya yang dibesarkan dengan bermahzabkan imam Syafie bukanlah alasan untuk memperkecilkan mahzab yang lainnya.

Keyakinan saya tetap pada jalan Ahli Sunnah wal Jamaah dan semoga Allah SWT tetapkan hati kita sebagai hamba-Nya yang soleh dan tidak terkeluar daripada Islam.

Malah, dijauhkan daripada sikap angkuh dalam mempamerkan imej Islam, riak saat berdakwah apatah lagi merasakan diri mulia dalam muslihat mencari kealpaan dunia.

Astaghfirullah!

Kerja tetap kerja, adil perlu ada dalam saling menyantun. Bekerjasama biar apapun cabarannya, cepat atau lambat jua, susah dan senangnya kita.

Ya, saya jarang bergaul, hanya bila mampu namun bukan alasan untuk menfitnah diri ini memutuskan silaturrahim dengan sesiapa.

Juga, janganlah berkisah diri sesat daripada jalan taqwa hingga berat syak-wasangka jika tidak selalu bersua, hanya kerana cerita antara saudara yang dendam rindunya tidak berbalas.

Dendam cinta dan kasih sesama manusia ini jika tidak berpaut pada Ilahi, berat natijahnya pada hati kita.

Sebagai manusia biasa, kita tidak putus daripada berbuat dosa, saya apatah lagi orangnya yang masih berusaha memperbaiki diri dalam iman yang tidak terkecuali berbolak-balik hatinya selagi nyawa dikandung badan.

Harta & kekayaan itu satu ujian, begitu juga anak-anak walau sampai manapun umurnya. Namun ada di antara kita melihat itu sebagai satu kesempurnaan dunia, leka pada tanggungjawab dan berhibur pada sengketa.

Melalai pada kemudahan yang termampu olehnya. Mengumpat sesama keluarga, bertelingkah sesama manusia, bermuafakat sesama dosa.

Melahirkan yang lebih merosakkan pahala, menebalkan pada cinta nafsunya.

Hilang mewah dunia, tenangnya tenggelam dalam sengsara. Agama dipetaka!

Timbul mewah dunia, tenangnya muncul dalam bahagia. Agama diperguna!

Berkecil hati mungkin ya, berdendam itu tidak pernah namun kemaafan itu ubat sabar paling indah penawarnya.

Selawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW & teruslah kita berbaik sangka kepada sesiapa jua demi Allah Yang Maha Mengetahui setiap isi hati hamba-Nya.

Benarkah harta dan waris itu kesempurnaan kita atau tanggungjawab yang perlu dipikul banyak hukumnya?

Atau salahkah tafsiran bahawa berniaga itu cara bernafkah sebaiknya atau pengumpulan harta dunia?

Kita mudah lupa kerana kita adalah manusia.

Sedang lalai pun kita jugalah manusia.

Waktu sulit, bersabar itu nasnya. Sudahkah kita atau masih terpalit amarah berjela?

Wallahua’lam bisshawab… oh siapalah kita.

#MuhasabahDiri

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Shahnun bin Nunhati. Berasal dari Sabah. Merupakan blogger/website specialist/computer specialist. Ikuti perkembangan beliau di FB page https://www.facebook.com/puakaaa/.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.