,

Redha Itu Maknanya Besar

Pernah tak kau mengeluh di atas apa yang terjadi pada diri.

“Ahh..andai ku boleh putar kembali masa..”

Benar. Banyak perkara yang kau mahu semuanya berubah. Perkara yang terjadi di sekeliling kau harini mungkin tidak seperti yang kau inginkan.

Sama ada baik atau buruk sesuatu yang terjadi pada kau tika ini mungkin engkau tidak pernah merancang hatta terbayangkan pun semua ini akan berlaku.

Contohnya, kau belajar dalam bidang sains tapi bekerja di alam bidang IT. Sia-sia kah ilmu sains itu pada pendapat kau? Tidak kan?

Ilmu itu tetap kau bawa di dada dan tidak salahpun jika kau bekerja sebagai model, tapi lebih minat ke arah mempelajari bidang kaunseling.

Begitu juga jika kita dilanda musibah tika ini. Mengeluh. Menyalahkan takdir. Salahkan diri sendiri. Lebih banyak persoalan berbanding cuba mencari cara menyelesaikan masalah yang berlaku.

Jika lihat dari sudut positif, apa yang terjadi tika ini adalah satu pengalaman hidup yang kau pelajari sebagai manusia jalanan yang hanya menumpang di bumi Allah ini.

Ingat. Perjalanan terakhir kita tidak berakhir disini sahaja. Mungkin kau menyesal mengenali si dia yang membuat hatimu sakit hingga kini.

Tapi, bukankah perpisahan yang terjadi itu lebih baik dari kau sudah berkahwin dan mempunyai anak bersama si dia.

Tidakkah keadaan akan bertambah rumit jika kau mempunyai anak? Kerana jika kau sudah menjadi ibu bapa, tanggungjawabnya lebih besar.

Keputusan yang kau putuskan nanti tidak boleh berdasarkan keinginanmu sahaja.

Kadang redha itu hanya meniti di bibir kau sahaja, bukan di hati. Kau rasa sudah redha atas apa yang terjadi.

Hakikatnya kau masih mengungkit hal yang lalu. Kau masih mencari salah siapa yang terjadinya semua ini.

Masa kian berlalu meninggalkan kenangan silam, namun kau masih di situ terpaku di pintu yang Allah sedang buka untuk kau maju ke hadapan.

Analoginya, rumah kita tidak hanya mempunyai satu pintu sahaja. Jika rumah terbakar, kau masih ada jalan keluar dari pintu hadapan atau belakang.

Begitu juga kapal terbang yang mempunyai pintu kecemasan. Sama seperti masalah yang berlaku sekarang ini, banyak pintu yang sedang dibuka untuk kau melintasinya… cuma mungkin kau memerlukan masa untuk melihat pintu yang berselindung di sebalik kesedihan dan keresahan.

Tidak salah jika kadang kita merintih mengenangkan apa yang berlaku. Hati hamba Allah ini tidak kuat seperti selalunya. Ada masa kita juga jatuh tersandar pada peritnya hidup di dunia yang fana ini.

Natijahnya kita memerlukan Dia yang Maha Penyayang dan Mengetahu hati hamba-hambaNya. Namun jangan pula kau terleka dan hanya bersandar di situ.

Bangun semula dan cari kekuatan untuk teruskan kehidupan. Lihatlah alam yang terbentang luas di hadapan kau ketika ini, ia dicipta untuk menenangkan hati yang resah.

Moga hati yang sedang resah mencari makna kehidupan tika ini terpaut pada cinta dan kasih Ilahi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nuryusra bt Mohd Zulhilmi.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)

What do you think?

8 points
Upvote Downvote

Total votes: 30

Upvotes: 19

Upvotes percentage: 63.333333%

Downvotes: 11

Downvotes percentage: 36.666667%