, ,

Tinggalkan Perkara Syubhah, Itu Lebih Baik Bagimu

Seseorang Muslim yang meninggalkan perkara-perkara syubhah contohnya dalam perkara berkaitan ibadah, muamalat dan lain-lain akan membawa seseorang itu kepada sifat warak.

Hal ini adalah kerana ia dapat menjaga diri daripada bisikan was-was daripada syaitan.

Segala perkara yang halal tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dalam hati seseorang malah berasa tenang ketika memperolehnya.

Begitu juga segala perkara yang haram itu jelas dinyatakan di dalam Islam, jadi manusia beriman akan berusaha untuk menjauhi.

Namun, yang menjadi persoalan adalah perkara yang berada di tengah-tengahnya iaitu syubhah. Jika dari segi luaran, boleh jadi seseorang itu nampak tenang, tetapi jauh di sudut hatinya pasti ada rasa gelisah dan ragu-ragu.

Apa yang lebih malang adalah apabila seseorang itu sudah terlalu biasa dengan perkara syubhah sehingga menyebabkan dia berani untuk melakukan perkara-perkara haram pula kerana orang yang sentiasa berada di sekitar kawasan yang dilarang, lama-kelamaan dia akan memasukinya tanpa sedar.

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.”

(Hadis riwayat Tirmidzi)

Perkara ini merupakan asas dalam warak kerana ia menjadi penyelamat daripada terus tenggelam dalam kegelapan syak wasangka yang menghalang keyakinan.

Seorang ahli zuhud iaitu Abu Abdul Rahman al-Umari pernah mengatakan: “Apabila seorang hamba itu warak, dia tentunya meninggalkan sesuatu yang diragui dan melakukan sesuatu yang tidak diragui.”

Abu Zar al-Ghifari pula mengatakan: “Taqwa yang sempurna ialah meninggalkan sebahagian yang halal kerana dikhuatiri ianya haram.”

Jadi, segala perkara yang meragukan itu sebaiknya tinggalkan, apatah lagi sekiranya ia menghampiri haram.

Wallahu’alam.