, ,

Akidah Yang Benar Bersumberkan Dalil Yang Benar!

Semua orang Islam sepatutnya mengetahui bahawa akidah yang benar sudah semestinya dirujuk daripada sumber yang benar, iaitu al-Quran dan hadith.

Tiada keraguan kepada kita sekiranya hujah yang dibawa iatu bersandarkan daripada al-Quran, begitu jugalah dengan hadith.

Jika kita ada ilmu bahawa hadith tersebut benar-benar daripada Rasulullah bukannya rekaan atau palsu, maka ia wajib diterima sebagai sumber yang dipercayai.

Jumhur ulama’ telah bersepakat bahawa sumber akidah ialah al-Quran dan hadith. Antara dalilnya ialah:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

“Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)…” (Surah al-Kahfi 18:1)

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku.”

Secara tidak langsung, dalil-dalil tersebut menunjukkan bahawa al-Quran dan hadith sememangnya wajib dijadikan pegangan oleh umat Islam daripada zaman Nabi sehinggalah akhir zaman.

Sumber asalnya tidak berubah walaupun kaedah untuk mengaplikasikan hukum itu berkembang seiring peredaran zaman.

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Maka sesungguhnya sesiapa antara kamu yang hidup selepasku, dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-Rasyidin;

gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia bidaah, sedangkan setiap bidaah itu sesat.”

Wallahu’alam.