Antara faktor yang menimbulkan perpecahan dalam kalangan manusia adalah campur tangan terhadap urusan lain, sedangkan urusan tersebut tiada kaitan dengan dirinya sama ada urusan agama mahupun keduniaan.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya.”
(Hadis riwayat Tirmizi)
Ulama berpandangan bahawa hadis ini menghimpunkan keseluruhan agama kerana ia mempunyai suruhan dalam melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu.
Dalam masyarakat Melayu, ia dipanggil sebagai ‘menjaga tepi kain orang’. Namun, jangan tersilap sehingga tidak mahu campur tangan langsung sehingga membiarkan kemungkaran terus berlaku.
Sebagai contoh, ada anak jiran yang dapat kerja di bandar, lalu mak cik-mak cik sekampung sibuk bergosip mengenai apa agaknya kerja anak jiran tersebut kerana sebelum ini dia bekas penagih dadah.
Maka, perkara tersebut dipanggil sebagai ‘menjaga tepi kain orang’ kerana tiada kaitan dengan urusan agama atau keduniaan mak cik-mak cik itu.
Namun, contoh lain pula, ada orang kampung yang selalu kena pukul dengan suami sehingga ada banyak bekas lebam, maka mak cik-mak cik itu perlu masuk campur dan sebaiknya lapor pada pihak berkuasa, malah ia tidak dipanggil sebagai ‘menjaga tepi kain orang’ kerana ia ada kaitan dengan urusan agama dan keduniaan, bahkan Islam sendiri menyuruh supaya menghalang kemungkaran.
Orang yang suka mencampuri urusan yang tiada kaitan dengannya akan melalaikan diri daripada melakukan tanggungjawab yang sepatutnya dia lakukan.
Hal orang lain disibukkan, hal sendiri diabaikan.
Wallahu’alam.