, ,

Kalimah Syahadah Sebagai ‘Kunci’ Untuk Peroleh Redha Dan Syurga Allah

Sejak perkembangan Islam dari zaman Nabi Muhammad sehinggalah sekarang, penyelewengan terhadap akidah berlaku begitu banyak sekali, sehingga membawa kepada kekeliruan.

Perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh pengaruh musuh Islam ditambah dengan kejahilan umat Islam itu sendiri.

Sebab itu, penting bagi kita untuk berpegang teguh dengan ilmu usuluddin iaitu akidah yang benar yang berasaskan tauhid.

Apabila kita berbicara tentang tauhid, ia melibatkan dua kalimah syahadah yang juga dikenali sebagai al-shahadatain.

1. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah

2. Aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah

Dua kalimah syahadah ini berkait rapat dengan iman dan ia adalah pengisytiharan yang membawa perubahan besar dalam kehidupannya di dunia dan akhirat.

Malah, ia menjadikan seseorang itu tunduk dengan segala peraturan yang ditetapkan Allah.

Keimanan yang lahir dari dalam diri akan menghasilkan sifat-sifat yang terpuji seperti ikhlas, positif, sabar, tawakal, tidak mudah berputus asa malah sanggup untuk mengorbankan keseronokan sementara bagi mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.

Dalam catatan sirah, ketika para sahabat berhijrah ke Habsyah yang mana pada ketika itu dalam majlis yang dihadiri pendeta Kristian, mereka diperintahkan untuk sujud sembah kepada Raja Najasyi.

Namun dengan lantang Ja’far bin Abi Talib membantah dan mengatakan; “Kami tidak sujud melainkan kepada Allah.”

Keimanan yang kukuh sebeginilah yang diterapkan oleh Rasulullah, walau dalam keadaan situasi apa sekali pun mereka tetap yakin dengan pertolongan Allah, sehinggalah umat Islam suatu ketika dahulu mampu mengalahkan empayar hebat seperti Rom dan Parsi.

Wallahu’alam.