Setiap manusia diuji. Namun ujiannya sahaja berbeza-beza.
Kita semua diuji ini kerana Allah ingin meningkatkan darjat kita dan memberi kita kebaikan.
Namun bagaimana kita mahu bertenang dalam proses untuk redha melalui ujian dalam hidup?
Perkara yang perlu kita lakukan pertama sekali adalah mengembalikan semuanya semula kepada Allah.
Jangan lupa untuk mengucapkan innalillahi wa inna ilaihi rojiun.
Jangan salah faham, ayat itu bermaksud, “Daripada Allah kita datang kepada Dia kita kembali.”
Maksudnya kita menyerah diri kepada-Nya, yang mentakdirkan setiap sesuatu. Akan hadir rasa tenang jika kita cuba reda menerima ketentuan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Surah Ali-Imran: ayat 200)
Seterusnya adalah dengan sabar dan solat. Bersabarlah pada hentakan pertama.
Yakinlah seberat dan sesukar mana sesuatu dugaan itu, dengan menerimanya dengan sabar, akan dipermudahkan. Rasulullah SAW sendiri jika ada persoalan, akan menunaikan solat.
Kadangkala ujian juga datang kerana Allah ingin menegur kita. Menghapuskan dosa-dosa kita.
Jadi, lazimi diri kita dengan istighfar (mohon ampun) dan berdoa supaya kita diberi kefahaman dan ketenangan dalam melalui ujian tersebut.
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah: ayat 45-46)
Jaga juga lidah kita supaya kita tidak banyak merungut dan sebut sesuatu yang buruk.
Biarlah dugaan ini benar-benar menghapus dosa, bukan lagi mengurangkan pahala. Teruskan positif dan bersangka baik.
Allah telah berfirman setelah sukar, akan mudah, jadi sangka baiklah dengan takdirnya. Percaya janji Allah.
Akhir sekali, sedar yang kita tidak keseorangan diuji.
Ambil masa untuk baca kisah inspirasi orang lain. Yang lebih banyak dugaannya, namun mampu bangkit semula. Dan teruslah positif melangkah meneruskan hidup.
Sebesar mana ujian, kuasa Allah itu lagi besar. Yakinlah ada jalan penyelesaian untuk setiap yang datang.
“… Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).” (Surah Al-Talaq: ayat 2)
Moga kita terus menjaga keikhlasan. Bertenang dan sabarlah, kerana Allah sedang sayang.
Sangka baik, moga kita dapat yang baik-baik. Insya-Allah. Teruskan doa, usaha dan tawakal kerana semua perkara yang berlaku bukan saja-saja.
Pasti ada hikmah dan tujuannya.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.