,

Erti Sebuah Kesabaran

Kesabaran seringkali dikaitkan dengan ujian, iaitu kemampuan seseorang individu untuk bersabar atau menahan dan mengawal diri tatkala diri sedang diuji.

Namun, ia bukan mudah untuk meraih sebuah kesabaran terutamanya apabila hadirnya ujian tanpa diduga dan tidak pula dipinta.

Persoalannya, sejauh manakah seorang individu itu mampu bersabar? Apakah nikmat di sebalik sebuah kesabaran?

Keindahan sebuah kesabaran bukan hanya terletak pada perkataannya semata-mata. Sebaliknya, keindahan serta kenikmatannya akan dapat dirasai oleh mereka yang berusaha meraih kesabaran itu sendiri.

Hal ini kerana ia diibaratkan seperti sesuatu yang berharga yang amat tinggi nilainya, bahkan, sukar diraih oleh mereka yang tiada usaha untuknya.

Ketinggian nilai kesabaran jelas terbukti yang mana ianya banyak disebut oleh ALLAH SWT dalam kitab suci al-Quran.

Sebagai contoh, dalam surah al-Baqarah ayat 153, ALLAH SWT berfirman maksudnya, “Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya ALLAH SWT bersama orang-orang yang sabar”.

Selain itu, turut disebutkan dalam ayat 146 surah Ali Imran bahawa, “ALLAH mencintai orang-orang yang sabar”.

Hal ini jelas membuktikan betapa tingginya nilai sebuah kesabaran di sisi agama. Setiap manusia yang bersabar dan berusaha untuk bersabar dalam hidup pasti akan dimuliakan martabatnya.

Bukan hanya dipandang tinggi dan disanjung oleh manusia tetapi juga mendapat tempat yang terpuji di sisi ALLAH SWT.

Sebagai umat Islam, kita juga seharusnya mencontohi sifat sabar Nabi Muhammad SAW yang semestinya dijadikan tauladan dalam hidup.

[Nabi Muhammad SAW sentiasa bersabar dalam menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia walau terpaksa menempuh pelbagai halangan dan rintangan daripada musuh. Baginda tidak berputus asa dan terus bersabar menyampaikan dan menyebarkan dakwah Islam.

Oleh itu, kesan dan nikmat yang jelas dapat dilihat sehingga ke hari ini ialah agama Islam tersebar luas ke seluruh pelosok dunia dan bertambahnya bilangan umat Islam.

Hasil daripada itu, kita juga mampu merasai dan menghayati nikmat Islam itu sendiri dan mengamalkannya dengan tenang dan aman.

Kita juga digambarkan dengan sifat sabar Sumaiyyah binti Khabath iaitu srikandi Islam yang telah syahid pada jalan ALLAH SWT. Beliau diseksa oleh musuh Islam atas kesaksian dan keteguhan imannya pada agama Islam.

Berkat daripada kesabaran dan keteguhan imannya yang tidak pernah mengalah, beliau akhirnya dijanjikan ganjaran syurga oleh ALLAH SWT walau tertewas dan terbunuh di tangan manusia yang penuh dengan kekejaman tetapi tidak tertewas oleh iman.    

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa kesabaran setiap manusia itu pasti ada batasnya. Tahap kesabaran setiap individu juga pasti berbeza.

Tiada individu yang mampu bersabar sepanjang masa. Sedikit sebanyak pasti tertewas oleh ujian itu sendiri.

Walaubagaimanapun, usaha untuk sentiasa bersabar itu perlu sentiasa ada kerana ia mampu mewujudkan ketenangan pada diri serta mengelakkan sebarang kemungkaran.

Secara analoginya, kesabaran itu ibarat sebiji benih. Setelah disemai dan dibaja pasti akan tumbuh membesar menjadi sepohon pokok.

Andai dijaga dengan baik, ia pasti akan membuahkan hasil yang baik serta bermanfaat kepada orang lain.

Begitu juga dengan kesabaran, ia perlu dipupuk di dalam diri dan dijaga nilai kesabaran tersebut agar keimanan diri terus terpelihara.

Kesimpulannya, kesabaran itu hanya mampu diraih oleh mereka yang berusaha untuk mencapainya.

Kenikmatan sebuah kesabaran itu pula hanya akan dirasai oleh mereka yang sabar.    

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Hasnita binti Yusof.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.