, ,

Asas Akidah Yang Perlu Diketahui Muslim

Akidah Islam merupakan keyakinan yang mendalam kepada Allah dan diterjemahkan melalui percakapan dan tingkah laku, malah dibenarkan melalui hati.

Jadi, dalam memahami akidah Islam, kita perlu ketahui asas-asas di dalam akidah. Jom lihat satu persatu.

(a) Mengetahui fardhu ain

Beriman kepada Allah dengan meyakini sepenuhnya kewujudan Allah.

Malah, yakin dengan ajaran yang dibawa Rasulullah kepada manusia.

Seterusnya, melakukan ibadah, menjauhkan diri daripada perkara haram dan akhlak buruk.

(b) Memahami Islam, iman dan ihsan

Islam ialah tunduk dan patuh terhadap ajaran yang dibawa Rasulullah.

Iman ialah membenarkan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah tanpa ada sebarang syak wasangka.

Ihsan ialah melakukan sesuatu dalam keadaan sedar bahawa Allah sentiasa melihat kita.

(c) Percaya kepada perkara sam’iyyat

Merujuk kepada perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, dosa, pahala, akhirat, dan lain-lain.

Dalam masa yang sama, keyakinan terhadap akidah yang kita pegang itu sudah semestinya perlu mempunyai ciri-ciri berikut, iaitu:

(i) Keyakinan berasaskan kefahaman minda dan ilmu yang mantap yang diperoleh daripada sumber wahyu Ilahi.

(ii) Hati berasa patuh dan taat untuk mengamalkan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya dalam keadaan rela bukannya dipaksa.

(iii) Keyakinan yang teguh sehingga walau apa sahaja cabaran yang mendatang, iman itu tidak goyah dan tidak timbul sebarang keraguan.

(iv) Terdorong untuk mempunyai kesungguhan dalam beramal, malah berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan akhlak yang terpuji.

Apabila terlaksana ciri-ciri tersebut, barulah tercapai matlamat akidah yang bukan hanya sekadar teori semata-mata tetapi dibuktikan dengan praktikaliti.

Wallahu’alam.