,

Ibu Bapa Sanggup Berkorban Apa Saja (bahagian 3-akhir)

‘Susah senang manusia tak sama. Masalah orang lain-lain. Tapi selagi untuk anak-anak, mak bapak mana-mana pun sanggup berkorban apa saja. Anak-anak je tak nampak dan tak faham apa yang mak bapak buat untuk diaorg.’ Bisik wanita itu.

Aku melihatnya. Matanya berkaca seperti sedang menahan sayu agar tidak dilihat orang.

Aku mengangguk. Jariku pantas menutup novel itu lalu memasukkan semula ke dalam beg sandang.

Aku bangun lalu mencari lif. Butang G ditekan aku di bawa turun sampai ke ruang legar Bangunan Canseleri. Aku berjalan ke tangga hadapan pintu bangunan. Di sisi kanan bangunan itu terlihat sebuah kafe.

Aku tidak berniat untuk ke situ. Aku terus duduk di anak tangga itu dan memandang kubah masjid dihadapanku. Pandanganku kosong.

‘Hari apakah ini?’ Hatiku tersentuh. Sepertinya peristiwa tadi seakan-akan memaksaku untuk menghadamkan semuanya.

Terlalu banyak hikmah dalam satu masa. Aku seperti keliru. Air mataku menitis tanpa disedari. Aku cuba menyekat tetapi usahaku sia-sia kerana aku sendiri tidak dapat menahan hatiku ini.

Lalu aku biarkan saja. Setelah tenang sedikit fikiran, barulah aku berusaha untuk menyingkap satu persatu hikmah yang datangnya.

Aku mengangkat kepalaku, lalu mendongak memandang langit biru yang laus.

“Ya Allah, hikmah apa yang Kau sedang tujukan kepadaku?” Lalu sepanjang hari ini berlalu dengan aku merasa sesuatu di dalam hati serta cuba mencari hikmah yang tersembunyi di sebalik adegan kehidupan.

**********

“Brooommmm….”, bunyi mata pisau mesin rumput terkena pada batu mengejutkan lamunan aku.

Lamunan yang seakan-akan membawaku semula ke waktu itu. Lima tahun berlalu, mata hati yang melihat masih mampu menayangkan adengan pada skrin memori.

Sayunya hati ini masih sama seperti sayu yang dirasa pada hari pertama. Aku tersenyum sambil menyeka takungan yang hampir melimpah pada mata.

Aku kini lebih faham tentang peristiwa itu. Tentang apa itu pengorbanan. Tentang apa itu kasih saying. Tentang apa itu realiti kehidupan.

Manusia seperti aku yang dulunya belum jelas mengenai pengorbanan ibu bapa mula memahami sedikit demi sedikit selari dengan masa yang berlalu semenjak petistiwa itu.

Aku faham, si ayah itu cuba memberikan yang terbaik buat anaknya walaupun ianya kelihatan hampir di luar kemampuannya.

Pengorbanan si ayah itu kadang-kadang terlalu besar sehingga sanggup berkorban apa saja dan meninggalkan erti yang mendalam buat diriku.

Aku merasakan si ayah melihat cita-cita anaknya itu sebagai obor harapan yang mampu memancarkan masa depan anaknya bukan untuk kepentingan diri si ayah itu sendiri.

Ini semua demi masa depan anaknya. Peristiwa itu membawa 1001 erti dan pengajaran kepadaku dalam mengharungi realiti kehidupan.

Aku berasa pengalaman ini begitu berharga dan ingin sekali berkongsi dengan semua manusia yang bergelar anak. Ya mungkin saja ada yang kurang mengerti.

Namun, manusia seperti aku yang pernah dibesarkan dengan kehidupan yang seakan sama dengan kehidupan sang ayah tentu saja dapat memahami dan merasakan apa yang dilalui oleh si ayah.

Oleh itu, sebagai anak wajiblah kita mentaati serta mendoakan kesejahteraan ke atas kedua ibu bapa sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 24…

“Dan Hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana kasihan belas dan kasih sayangMu dan Doakanlah untuk mereka dengan berkata: Wahai tuhan kami cucurilah rahmat kepada kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Aku mencapai pen biru daripada bekas alat tulisku lalu aku koyak sehelai A4 daripada kulitnya. Aku berfikir sejenak sebelum mencoret kisah itu…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Hidayah Jamahiri (nama pena: Feb Ramadhan)

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%