,

Kisah dan Doa Nabi Zakaria AS.

Nabi Zakaria AS berkahwin semasa umurnya 30 tahun sementara isterinya berumur 20 tahun. 

Selepas berkahwin, ternyata isterinya mandul. Nabi Zakaria AS pun berdoa supaya dia dikurniakan anak perempuan. 

Akhirnya setelah penantiannya selama 70 tahun, iaitu semasa umurnya 100 tahun manakala isterinya 90 tahun, di waktu itulah Allah mengabulkan doanya.

Ini bukti bahawa Allah itu Maha Mendengar, Maha Mengetahui, apabila sewaktu beliau sudah tua dan isterinya mandul, dikabulkan permintaannya. 

Oleh itu, jangan putus asa dan teruskan berdoa.

Kisah Nabi Zakaria AS disebut di dalam Surah Maryam ayat 1-10. Jadi, apakah doa Nabi Zakaria?

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ ٱلۡعَظۡمُ مِنِّي وَٱشۡتَعَلَ ٱلرَّأۡسُ شَيۡبٗا وَلَمۡ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيّٗا  ٤

4. Ia berkata "Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku.

(Surah Maryam:4)

Beliau berdoa: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya tulang-tulangku sudah lemah, rambutku sudah putih semua tetapi saya tidak pernah berputus asa berdoa kepadaMu Ya Allah, tetap saya akan minta, kerana ibadah ini saya lakukan."

"Dan saya takut nanti jika saya meninggal tidak ada pewaris, tidak ada yang melanjutkan risalah kenabian, tugas utamaku, isteriku itu mandul tapi Ya Allah, kau kurniakanlah anak dari isteriku yang mandul ini." 

"Agar anak itu dapat mewarisi aku dan mewarisi juga semua yang dibawa oleh keluarga Nabi Yaakub AS, dan jadikan anak itu wahai Tuhanku, adalah anak yang baik.”

Sekiranya kita ingin meminta sesuatu dari Allah, kita haruslah bersabar dari saat kita meminta doa sehinggalah saat Allah mengabulkannya

Jika kita meminta satu permohonan dari Allah, Allah tidak akan mengurniakan satu sahaja bahkan lebih dari itu asalkan kita harus bersabar dan terus berdoa. 

Nabi Zakaria AS adalah bapa saudara Maryam, ibu Nabi Isa AS. 

Sewaktu Nabi Zakaria masuk ke rumah Maryam, dia mendapati di mihrab Maryam terdapat buah-buahan dan makanan yang tidak ada di negeri Palestine.

Maryam ini adalah wanita yang suci, dia tidak pernah bertemu lelaki yang bukan mahramnya, tidak pernah bertemu kecuali yang dilihat dari jauh dan tidak pernah bercakap dengan lelaki lain di mihrabnya.

Lalu Nabi Zakaria bertanya Maryam dari mana dia mendapat makanan itu, Maryam menjelaskan Allah yang mengurniakan makanan itu, Allah memberikannya kepada sesiapa yang dia inginkan.

Dari situlah, Nabi Zakaria AS memohon kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh. 

Allah bukan sahaja mengabulkan doanya bahkan memberi lima perkara.

Pertama, Allah mengurniakan anak lelaki yang soleh kepadanya.

Kedua, Allah juga sudah menamakan anaknya dengan nama Yahya yang mana tiada seorang makhlukpun yang bernama Yahya sebelum itu. 

Ketiga, isteri Nabi Zakaria juga sudah tidak mandul, boleh mengandung dan dari tua dan lemah menjadi kuat, dari seorang pemarah menjadi baik sepertimana yang tercatat di dalam Surah Al-Anbiya’:

وَزَكَرِيَّآ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥ رَبِّ لَا تَذَرۡنِي فَرۡدٗا وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلۡوَٰرِثِينَ  ٨٩

89.  Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.

فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُۥ وَوَهَبۡنَا لَهُۥ يَحۡيَىٰ وَأَصۡلَحۡنَا لَهُۥ زَوۡجَهُۥٓۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِ وَيَدۡعُونَنَا رَغَبٗا وَرَهَبٗاۖ وَكَانُواْ لَنَا خَٰشِعِينَ  ٩٠

90.  Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepada nya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.

(Surah Al-Anbiya’: 89-90)

Perkara ini juga disebut di dalam Surah Ali-Imran ayat 38-41 di mana Nabi Zakaria berdoa:

 “Wahai Tuhanku, kurniakan aku dari sisiMu keturunan yang baik, sesungguhnya engkau selalu mendengar doa hamba-hambaMu.” 

Yang keempat, Yahya akan membesar menjadi orang yang beriman kepada Allah.

Yang kelima, Yahya akan menjadi tuan, raja dan nabi dari orang yang soleh.

Nabi Zakaria sangat gembira apabila dia mendapat perkhabaran isterinya akan hamil.

 Lalu, dia bertanya kepada Allah apakah tanda-tanda nanti apabila isterinya hamil? 

Allah menjawab melalui perantaraan Jibril, bahawa dia akan tidak boleh bercakap selama tiga hari tiga malam dan hanya boleh bercakap melalui bahasa isyarat.

Kesimpulan dari kisah Nabi Zakaria AS adalah sebagai muslim, kita hendaklah berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah walaupun kita tidak tahu bila Allah akan mengabulkannya.

Bersabarlah dan terus berdoa kerana Allah Maha Mendengar. 

Allah tidak akan mengabaikan permintaan hamba yang terus berdoa kepadaNya bahkan Allah akan mengabulkannya di masa yang tepat dan melebihi apa yang diminta hambaNya.

Rujukan: 

Al-Qur'anul Karim, Surah Maryam: 4

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Anbiya’: 89-90

Hidayah Indonesia, Kisah Nabi Zakaria Mendapatkan Anak Saat Berumur 100 Tahun - Ustadz Khalid Basalamah