Penerimaan wahyu merupakan tanda seseorang itu telah terpilih menjadi seorang rasul.
Ia disampaikan oleh Malaikat Jibril AS yang menjadi perantara antara Allah SWT dengan nabi dan rasul.
Sebagaimana yang telah kita pelajari dalam ilmu tauhid, seorang nabi hanya menerima wahyu untuk dirinya sahaja.
Manakala, seorang nabi yang menerima wahyu dan diperintahkan untuk menyampaikannya kepada kaumnya, maka nabi tersebut menjadi rasul.
Maka, dalam konteks nabi kita, Muhammad SAW, Baginda seorang nabi dan juga rasul.
Hal ini disebabkan oleh Baginda telah diwahyukan dengan syariat agama Islam dan diperintahkan untuk disampaikan bukan hanya kepada kaumnya, bahkan kepada seluruh umat manusia.
Itulah yang membezakan rasul-rasul terdahulu dengan Rasulullah SAW.
Mencari Ketenangan
Syeikh Ahmad al-Fathani dalam kitabnya Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib menyatakan bahawa waktu-waktu sebelum wahyu diturunkan, Rasulullah SAW mula gemar beruzlah di Gua Hira’.
Di situ, Baginda menghabiskan masanya untuk beribadat yang dilakukan mengikut syariat Nabi Ibrahim AS dan juga berfikir.
Baginda mula memikirkan tentang sikap dan tingkah laku kaumnya, Quraisy. Walaupun mereka semua begitu menyanjungi dan menghormati Baginda, namun mereka semua telah menyimpang daripada ajaran Nabi Ibrahim AS.
Mereka beribadat kepada patuh-patung berhala yang diukir mereka sendiri!
Bukan itu sahaja, keadaan sosial masyarakat juga tidak adil. Golongan ternama dan memiliki harta yang banyak bebas melakukan apa sahaja kepada golongan yang lemah.
Penindasan berlaku baik dalam soal layanan sosial bahkan juga dalam urusan jual beli.
Semua itu merunsingkan Baginda. Sepertinya sudah tiba masanya kaum Quraisy khususnya perlu dikembalikan kepada ajaran tauhid yang asal menggantikan amalan amalan yang sesat itu.
Sedangkan bumi Mekah merupakan bumi tauhid. Bumi Nabi Ibrahim dan Ismail AS.
Didatangi Jibril
Tatkala umur Baginda memasuki 40 tahun, terjadilah peristiwa yang besar pada diri Baginda SAW.
Setelah sekian lama beruzlah, akhirnya pada 17 Ramadan Malaikat Jibril AS pun memperlihatkan dirinya kepada Baginda.
Di Gua Hira’ itu, Malaikat Jibril datang dan memeluk Baginda dengan kuat sambil berkata: “Bacalah!” Namun jawab nabi: “Aku tidak tahu membaca!”
Kemudian perbuatan ini dilakukan berulang kali sebanyak tiga kali. Jawapan yang diterima masih sama. “Aku tidak tahu membaca!”
Akhirnya buat kali yang ketiga, apabila Malaikat Jibril bertanya kembali, Nabi Muhammad SAW barulah dapat menjawab: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (QS Al-‘Alaq ayat 1-5)
Kemudian, Malaikat Jibril pun turun daripada kawasan bukit letaknya Gua Hira’ itu dan ia pun menghentakkan bumi.
Selepas itu, terpancarlah mata air dan Baginda disuruh oleh Jibril untuk mengambil wuduk dan kemudiannya mengikuti perbuatannya.
Perbuatan tersebut ialah solat dua rakaat. Setelah selesai, Jibril AS pun ghaib.
Pendamping Setia
Baginda SAW masih terkejut dan takut dengan apa yang dialami oleh dirinya itu. Tanpa membuang masa, Baginda terus berlari pulang ke rumah untuk bertemu isterinya Saidatina Khadijah.
Setelah pulang, Baginda menceritakan apa yang dialaminya itu kepada isterinya.
Baginda memberitahu bahawa dirinya takut. Lalu jawab Saidatina Khadijah: “Demi Allah! Allah tidak menghina tuan. Sesungguhnya tuan sering menghubungkan silaturrahim dan juga sentiasa benar dalam percakapan.”
Kata-kata Saidatina Khadijah itu sedikit sebanyak dapat meredakan rasa takut Baginda.
Walaupun pada mulanya Baginda berasa amat takut.
Semua ini menjadi petunjuk bahawa begitulah peranan yang perlu dimainkan oleh seorang isteri. Menjadi pengubat lara sang suami.
Rujukan:
Al-Qur'anul Karim: Al-‘Alaq ayat 1-5
Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.