,

Jurucakap Ummah – Ja’far bin Abu Talib

Kemahiran berhujah merupakan satu kemahiran yang memerlukan minat dan akal yang tajam. 

Kita dapati, ia sudah mula dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Adanya kelab debat sehingga ia dipertandingkan di peringkat sekolah, kebangsaan bahkan antarabangsa. 

Bukan itu sahaja, di peringkat IPT juga bidang ini menjadi satu tumpuan mahasiswa untuk mengembangkan bakat mereka.

Kemahiran sahaja tidak mencukupi. Ia memerlukan keberanian dan ilmu. 

Keberanian untuk menghadap pihak lawan bicara dan ilmu bagi memastikan apa yang dilontarkan itu dapat mematahkan hujah lawan bicara dan akhirnyna memuaskan hatinya.

Ketua Muhajirin ke Habsyah

Jikalau kita telusuri sirah, sebenarnya acara perdebatan yang disaksikan oleh raja atau sultan bukanlah baharu. 

Bahkan ia sebenarnya telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Namun, hari ini tanpa kita sedari acara sebegini sudah menjadi norma dalam masyarakat kita.

Asal ada sahaja satu isu yang kontroversi, diadakan perdebatan antara yang menyokong dan yang menentang di hadapan pemerintah.

Ya, peristiwa ini berlaku sewaktu para sahabat Nabi SAW berhijrah ke Habsyah.

Akibat daripada tekanan yang diberikan oleh golongan musyrikin Quraisy, Baginda telah mengizinkan sebahagian sahabat untuk berhijrah ke Habsyah. 

Dek kerana raja tersebut beragama Nasrani, umat Islam selamat berada di bawah perlindungannya.

Ketua kumpulan sahabat yang berhijrah itu ialah seorang sahabat juga sepupu kepada nabi iaitu Ja’far bin Abi Talib RA

Walaupun umat Islam selamat berada di bumi Habsyah, musyrikin Quraisy tidak berpuas hati.

Mereka mahu membawa kaum kerabat mereka itu kembali semula ke Mekah.

Memandangkan Mekah dan Habsyah memiliki hubungan perdagangan yang baik, maka cara kekerasan tidak dapat dilakukan demi menjaga hubungan tersebut. 

Lalu, diutuskan rombongan Mekah yang diketuai oleh ‘Amru bin al-‘Ash dengan membawa hadiah untuk dipersembah kepada al-Najasyi.

‘Amru bin al-‘Ash lalu menyampaikan tujuan kedatangan rombongan mereka dari Mekah. 

Lalu al-Najasyi memanggil wakil kaum Muslimin untuk menghadapnya. Akhirnya, kedua-dua pihak saling berhadapan antara satu sama lain di hadapan raja Habsyah itu.

Jawapan yang Memuaskan

Ja’far bin Abu Talib menyatakan beliau akan menjadi jurucakap bagi pihak kaum Muslimin. 

Tatkala wakil umat Islam itu menghadap al-Najasyi, beliau tidak tunduk sujud. 

Lalu, orang-orang yang berada di situ menegur: “Kamu tidak sujud kepada raja?”

Ja’far menjawab: “Saya tidak tunduk sujud melainkan hanya kepada Allah.”

Mereka berkata: “Mengapa begitu?”

Ja’far menjawab: “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan seorang rasul dalam kalangan kami."

"Dia memerintahkan agar kami tidak tunduk sujud melainkan hanya kepada Allah. Dia memerintahkan kami mendirikan solat dan zakat.

Lalu, tanpa membuang masa, ‘Amru bin al-‘Ash memulakan pertanyaan. 

Katanya: “Sesungguhnya mereka semua berbeza pendapat denganmu wahai al-Najasyi berkenaan perihal Isa dan ibunya.”

Lalu, sang raja bertanya kepada Ja’far: “Apakah pandangan kamu berkenaan Isa dan ibunya?” 

Ja’far kemudiannya menjawab: “Kami katakan sebagaimana yang Allah telah firmankan iaitu Baginda ialah ruhullah dan kalimah-Nya

Dikurniakan kepada Maryam yang perawan dan tidak pernah disentuhi sesiapa.”

Mendengar jawapan itu, al-Najasyi mengangkat sebatang kayu dari tanah dan berkata: 

“Wahai seluruh penduduk Habsyah serta seluruh pendetanya! Tidaklah mereka ini menginginkan apa-apa yang buruk kepadaku! Aku bersaksi bahawa dialah rasul Allah."

"Dialah yang telah dikhabarkan oleh Isa di dalam Injil. Demi Allah, sekiranya tidak kerana takhta ini, aku akan datang kepadanya untuk menjadi pembawa seliparnya..”

Katanya lagi: “Kamu semua (Ja’far dan sahabat-sahabatnya) tinggallah di sini.” 

Beliau juga memerintahkan agar rombongan Mekah mengambil semula segala hadiah yang dipersembah itu dan pulang ke Mekah dengan hampa.

Cabaran Hari Ini

Hari ini kita lihat cabaran semakin kuat. Pelbagai tohmahan dan tuduhan yang keji dan buruk dilemparkan kepada agama Islam dan umatnya. 

Ya, jikalau tentang umat Islam, tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir yang tidak dapat menunjukkan contoh yang baik. Namun, itu tidak menjadi cerminan kepada ajaran Islam yang sebenar.

Hari ini juga sukar untuk seseorang itu tertarik dengan Islam dengan melihat kepada sikap umatnya. Maka, itu cabaran untuk kita sedar agar kembali mengamalkan ajaran Islam sebaiknya.

Namun, lain pula apabila agama ini diperlekehkan. 

Di situlah perlu kepada jurucakap-jurucakap yang benar-benar berani dan berpengetahuan untuk membidas segala tohmahan kepada agama suci ini.

Namun, kita juga perlu berjaga-jaga daripada terperangkap dengan helah dan tipu daya mereka.

Tujuan mereka yang sebenar bukanlah untuk mendapatkan kebenaran. 

 Tetapi untuk memburukkan lagi imej agama Islam ini dengan sikap cepat melatah sebahagian daripada jurucakap umat ini

Justeru, golongan ini perlu berhati-hati dan berhemah dalam menangani isu ini. Ditakuti terjerumus ke dalam perangkap musuh.

Rujukan:

Siyar A’lam al-Nubala’ : Imam al-Dzahabi.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%