,

Niat aku berhijrah kerana apa?

Pada 1444 tahun yang lalu ada seorang gadis rupawan daripada Mekah bernama Ummu Qais. Beliau merupakan salah seorang sahabiah yang awal memeluk Islam. Begitu cantik rupawannya Ummu Qais sehingga salah seorang jejaka iaitu Hatib cuba untuk meminangnya. Namun, Ummu Qais enggan mengahwininya kecuali jika Hatib pun berhijrah ke Madinah.

Rasulullah salallahu alaihi wasalam dan para sahabat berhijrah sejauh 320km dari Mekah ke Madinah. Perjalanan itu memakan masa dalam 8 hari. Walaupun pada mulanya, Hatib agak berbelah bahagi samada hendak berhijrah atau pun tidak. Akhirnya, dia memutuskan untuk berhijrah juga ke Madinah mengikuti kekasihnya.

Sesampainya Hatib di sana, sebahagian Sahabat ditimpa wabak penyakit.

Al-Zubair bin Bakar di dalam Akhbar al-Madinah:

Apabila Nabi salallahu alaihi wasalam tiba di Madinah, selepas beberapa ketika. Sebahagian daripada para sahabat RA telah jatuh sakit. Kemudian tiba seorang lelaki di Madinah lalu dia berkahwin dengan
seorang wanita yang juga berhijrah dari Makkah.

Maka Baginda salallahu alaihi wasalam duduk  di atas mimbar lalu bersabda:

Wahai sekalian manusia, sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat sebanyak tiga kali. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.
-Hingga akhir hadith-

Al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith

Sejak dari peristiwa itu Hatib digelar “Muhajir Ummu Qais”, orang yang berhijrah kerana Ummu Qais. Alangkah ruginya hijrah Hatib itu.

Seperti yang kita ketahui, tiada lagi hijrah selepas Hijrah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ke Madinah.

Masjid Nabawi pada waktu senja
Pemandangan Masjid Nabawi ketika senja

Seperti sabdaan Nabi Salallahu Alaihi Wassalam:

“Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat. Oleh itu, apabila kami diperintahkan berangkat (untuk berjihad) maka berangkatlah.” 

Muttafaqun Alaih

Hijrah bukan sekadar perubahan luaran daripada tidak menutup aurat kepada sempurna menutupnya, tetapi perlu juga disertakan perubahan hati yakni niatnya itu kerana Allah dan Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam.

Begitulah penting niat di awal-awal perbuatan kerana niat itulah yang membezakan antara adat dan ibadat. Imam Syafi’i dan Imam Ahmad mengatakan hadis ni sepertiga daripada agama. Imam Bukhari dan Imam Nawawi meletakkan hadis Niat ini yang pertama sekali di dalam kitab hebat mereka. Menunjukkan betapa tinggi nilai niat itu pada mata mereka.

Rujukan:

SEBAB WURUD HADITH “SETIAP AMALAN ITU BERGANTUNG PADA NIAT”