“Ah aku sudah tua. Baik duduk rumah sahaja.” Barangkali itulah antara ungkapan yang diungkapkan oleh sesetengah orang.
Masa tua, masa untuk berehat. Masa untuk menghabiskan sisa-sisa hidup.
Namun, alangkah baiknya jikalau masa yang berbaki itu digunakan untuk melakukan perkara yang memberikan pahala.
Lebih malang lagi, apabila di usia sebegini anak-anak sudah mula tidak ambil peduli.
Mereka sibuk dengan urusan mereka sendiri. Ada yang sudah bekerja dan bekeluarga.
Itulah lumrah kehidupan manusia. Dengan usia sebegini kita tidak boleh mengharapkan anak-anak akan selalu berada bersama.
Mujahid Beruban
Mari kita menyingkap kembali kisah seorang sahabat Nabi SAW yang sangat menakjubkan ini.
Beliau memilih untuk mengakhiri usianya di medan perang! Beliau ialah Abu Ayyub al-Ansari RA.
Siapa yang tidak tahu kisah beliau? Sahabat yang menawarkan rumahnya untuk didiami oleh Rasulullah SAW tatkala Baginda tiba di kota Madinah.
Namun, selain itu tidak ramai yang mengetahui kisah tentang beliau.
Semangat untuk berjihad tidak pernah padam dalam diri Abu Ayyub al-Ansari.
Walaupun Baginda SAW telah wafat, beliau tetap tidak melepaskan peluang untuk menyertai setiap peperangan menentang musuh-musuh Islam.
Dikatakan bahawa beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama pasukan tentera Islam kecuali hanya sekali. Namun, selepas itu beliau menyesali tindakannya itu.
Dalam suasana fitnah pasca pembunuhan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan, Abu Ayyub al-Ansari dilantik menjadi gabenor kota Madinah oleh Khalifah Ali bin Abi Talib.
Sehinggalah akhirnya kendali politik umat Islam berada di tangan Mu’awiyyah, Abu Ayyub masih lagi teruja untuk menyertai ekspedisi jihad yang dilancarkan.
Ketika itu, usianya sudah pun lanjut dan ekspedisi yang dilancarkan pula nun jauh ke Eropah iaitu ke Kota Constantinople.
Pasukan tentera Islam diketuai oleh Yazid bin Mu’awiyyah. Malangnya, sewaktu pengepungan sedang dijalankan, Abu Ayyub sudah mula sakit-sakit.
Apabila merasakan sakitnya bertambah kuat, beliau mewasiatkan sahabat-sahabatnya:
“Kebumikan aku di bawah hentakan tapak kaki kamu."
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mati dan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.”
Selepas itu, beliau pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kemudiannya dikebumikan di satu kawasan berhampiran dengan tembok kota Constantinople.
Pembakar Semangat Anak Muda
Zaman sudah berlalu. Kisah syahidnya Abu Ayyub al-Ansari menjadi buah mulut umat Islam dari generasi ke generasi.
Sehinggalah ia sampai kepada telinga seorang sultan muda dan bertenaga, Sultan Muhammad al-Fatih.
Beliau merupakan sultan bagi Kerajaan Uthmaniah yang bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hadis Nabi SAW tentang pembukaan Kota Constantinople.
Takdir telah menentukan bahawa akhirnya setelah 53 hari kepungan, kota yang menjadi kemegahan bangsa Eropah dan umat Kristian ini jatuh jua.
Sultan Muhammad al-Fatih telah menamakan semula kota ini dengan Istanbul, menandakan kota ini kini telah menjadi kota Islam.
Selepas itu, beliau memerintahkan agar kawasan yang menjadi tempat bersemadinya sahabat nabi ini dibersihkan dan didirikan sebuah masjid.
Kini, masjid tersebut bernama Masjid Ayyub Sultan atau Eyüp Sultan Camii.
Mengambil berkat daripada sahabat nabi yang mulia ini, setiap sultan Uthmaniah yang ditabalkan akan menjalani satu istiadat yang disebut sebagai 'mengucup pedang' di sini.
Begitulah kisah Abu Ayyub al-Anasari yang begitu bersemangat untuk berjihad sehingga tidak sedar bahawa pada usia sebegitu, lebih baik beliau menghabiskan masa untuk beribadat sahaja.
Namun, semangatnya terus diwarisi sehingga kota yang tidak dapat dibukanya kemudiannya berjaya dibuka oleh generasi yang kemudian.
Merancang Untuk Tua
Kita biasa dengar tentang betapa perlunya seseorang itu merancang kewangannya.
Merancang kerjaya, pendidikan dan keluarga. Namun, kadang kala perancangan untuk hari tua hanya dipandang sebelah mata sahaja.
Seolah-olah apabila tua nanti, diri sudah tidak berguna lagi. Hanya tinggal menunggu ajal menjemput.
Tidak! Renungi kisah Abu Ayyub di atas. Beliau tidaklah mati sebagai seorang tua yang biasa.
Kematian beliau telah menghidupkan jiwa-jiwa yang bersemangat untuk meneruskan perjuangan beliau yang terhenti di sekerat jalan itu.
Fikirkan kembali, apakah yang akan kita tinggalkan untuk generasi muda kita?
Mungkin anak-anak kita atau mana-mana anak muda yang terinspirasi dengan kita.
Pasakkan satu legasi perjuangan yang membawa agenda kebangkitan dan kesedaran buat anak-anak muda.
Mudah-mudahan apa yang tidak dapat kita capai akan dapat dicapai pula oleh generasi kita yang kemudian.
Rujukan:
Siyar A’lam al-Nubala’ : Imam al-Dzahabi.