, ,

Khadijah binti Khuwailid – Tulang Belakang Dakwah Nabi

Menjadi seorang isteri merupakan satu kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kaum wanita kerana itulah saat dan ketika yang paling mudah untuk meraih pahala daripada-Nya.

Jikala dahulu, seorang wanita itu berada di bawah jagaan kedua ibu bapanya.

Maka tatkala sudah melangkah ke alam perkahwinan, dirinya sudah dipertanggunjawabkan oleh seorang lelaki yang bernama suami.

Segala tindak tanduk dan perilakunya akan menentukan bagaimanakah rumah tangga yang akan terbina kelak.

Dengan peranan yang turut dimainkan oleh si suami, insya-Allah kedua-dua suami dan isteri itu dapat mencorakkan mahligai bahagia yang diimpi-impikan selama ini.

Sudah tentu kita pernah mendengar tentang Ummul Mukminin, Khadijah binti Khuwaild.

Isteri dan tulang belakang Rasulullah SAW tatkala Baginda mula menyampaikan risalah kerasulannya. Banyak contoh dan tauladan yang boleh diambil daripada kisah beliau.

Peniaga Wanita Berjaya

Siapa yang tidak mengenali Khadijah, seorang peniaga wanita yang berjaya dan terkenal di kota Mekah.

Namun, sebelum itu beliau merupakan seorang isteri biasa namun telah kehilangan suaminya dalam dua perkahwinan sebelum ini.

Setelah itu, beliau tidak lagi berkahwin dan memberikan tumpuan dalam urusan perniagaan yang akhirnya menjadikan dirinya berjaya.

Dirwayatkan bahawa dua orang suami Khadijah sebelum ini bernama ‘Atiq bin ‘Abid dan Abu Halah Malik bin al-Nabbasy al-Tamimi.

Ibn Ishaq mengatakan,

Khadijah merupakan seorang peniaga wanita yang memiliki kemuliaan dan harta.

Beliau mengupah pekerja dalam kalangan orang lelaki untuk menjual barang-barang perniagaannya.

Berita tentang sifat amanah dan akhlak mulia seorang pemuda bernama Muhammad sampai ke pengetahuan beliau.

Merasakan bahawa ini merupakan kesempatan yang berharga kerana telah menemui seorang pekerja yang terbaik,

Sayidatina Khadijah terus mempelawa Nabi SAW yang ketika itu belum dilantik menjadi Rasul untuk membawa barangan beliau dan diniagakan di Syam.

Lalu, dikumpulah barang-barang dan pekerja yang terbaik untuk mengikuti rombongan dagang beliau yang akan dipimpin oleh pemuda yang bernama Muhammad itu.

Turut dihantar oleh Khadijah ialah Maisarah, pembantu beliau untuk melaporkan perjalanan mereka apabila pulang kelak.

Tatkala tiba di Syam, Rasulullah SAW kemudiannya berehat di bawah sebatang pokok yang terletak berhampiran dengan satu menara yang didiami oleh seorang pendeta.

Melihat Rasulullah SAW dan kafilah Baginda yang berada tidak jauh dari tempatnya, pendeta tersebut bertanya kepada Maisarah,

Siapakah lelaki yang sedang berehat di bawah pokok tersebut?

Jawab Maisarah,

Dia seorang lelaki Quraisy dari tanah haram (Mekah).

Lalu jawab pendeta itu,

Tiada syak lagi bahawa orang yang berehat di bawah pokok itu merupakan seorang nabi!

Sepanjang berada di Syam, Rasulullah SAW berjaya menjual barang-barang yang dibawa dari Mekah.

Baginda juga turut membeli barang-barang yang akan dibawa pulang.

Tatkala tiba di Mekah, Baginda telah membawa keuntungan yang berganda kepada Sayidatina Khadijah berbanding sebelum ini.

Perkahwinan yang diberkati

Setelah pulang daripada misi perdagangan bersama Rasulullah SAW, Maisarah pun menceritakan segala pengalamannya itu kepada tuannya, Sayidatina Khadijah.

Satu per satu diceritakannya sehingga membuatkan tuannya itu berasa tertarik dengan keperibadian pemuda yang bernama Muhammad itu.

Lalu, Maisarah kemudiannya diutuskan oleh Khadijah untuk bertemu Baginda dan menyampaikan hasratnya melalui Maisarah.

Katanya kepada Rasulullah,

Sesungguhnya saya (Khadijah) telah berkenan dengan kamu disebabkan oleh hubungan kerabat kamu dengan saya, kemuliaan kamu di hadapan kaummu serta kejujuran kamu terhadap mereka.

Juga, kebaikan akhlak dan kejujuran tutur katamu.

Lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Baginda.

Lalu, hasrat tersebut kemudiannya disampaikan pula kepada bapa-bapa saudara Baginda.

Setelah itu, Baginda SAW mengikuti Sayidina Hamzah bin Abdul Muttalib ke rumah Khadijah.

Lalu, dikahwinkanlah mereka berdua, Muhammad bin Abdullah dan Khadijah binti Khuwailid.

Sayidatina Khadijah ketika itu diwakili oleh bapa saudaranya, ‘Amru bin Asad sebagai walinya.

Ketika itu, usia Rasulullah SAW 25 tahun manakala usia Khadijah pula 40 tahun.

Sayidatina Khadijah menjadi isteri Rasulullah SAW selama 24 tahun sebelum beliau meninggal dunia pada ‘Tahun Kesedihan’ bersamaan tiga tahun sebelum Hijrah.

Beliaulah menjadi satu-satunya isteri Nabi yang mengandungkan dan melahirkan zuriat Baginda.

Penguat Semangat Suami

Siapa yang tidak mengetahui kisah detik pertama Rasulullah SAW menerima wahyu.

Kisah ini terakam dengan sempurna di dalam kitab Sahih al-Bukhari hadis yang ketiga.

Hadis ini diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah RA beliau bercerita bahawa wahyu pertama yang diterima Rasulullah SAW itu berbentuk mimpi yang benar.

Baginda tak pernah bermimpi kecuali mimpinya itu seperti cahaya pagi.

Baginda diberikan keinginan yang kuat untuk menyendiri.

Akhirnya beliau pun menyendiri di gua Hira’ dan beribadah di sana selama beberapa malam lamanya sebelum kembali pada keluarganya untuk mempersiapkan bekal ibadah kembali.

Selebihnya kita sudah pasti maklum kisahnya.

Apa yang pasti, kisah ini menggambarkan betapa Sayidatina Khadijah merupakan seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya.

Tatkala suaminya keluar ke Gua Hira’, tanpa banyak soal, beliau sedia menyiapkan bekalan suaminya itu.

Tatkala Malaikat Jibril datang bertemu Rasulullah SAW, Baginda telah mengalami suatu keadaan yang dahsyat.

Keadaan ketika menerima wahyu pertama itu telah menyebabkan Baginda berasa sangat takut sehingga selepas itu terus berlari ke rumahnya.

Apa yang berlaku selepas itu?

Sayidatina Khadijah telah memainkan peranannya dengan baik bagi menenangkan suaminya itu.

Apabila rasa takut sudah hilang, barulah Rasulullah SAW mampu bercerita kepada beliau.

Kata Baginda,

Khadijah, aku takut.

Jawab beliau tenang,

Tidak apa-apa suamiku, Demi Allah, Allah tidak akan menghinakanmu selamanya.

Engkau merupakan seorang yang suka menyambung silaturrahim, membantu orang yang di dalam kesusahan, melayani tetami dan membantu kerja-kerja kabaikan.

Jawab beliau dengan nada memujuk untuk menenangkan ketakutan di hati suaminya itu.

Begitulah sedikit kisah tentang Ummul Mukminin Sayitadina Khadijah.

Wanita pertama yang memeluk Islam.

Keberadaan beliau di sisi Rasulullah SAW menjadi penguat untuk Baginda menghadapi hari-hari yang sukar tatkala dakwah Islam ingin disebarkan.

Sehinggakan tahun pemergian beliau dicatat oleh para sejarawan sebagai Tahun Kesedihan buat Rasulullah SAW kerana,

Baginda sudah ketiadaan seorang isteri dan yang paling penting, seorang penguat semangat.

 

Rujukan: Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.