, ,

Hijrah Pertama

Tekanan demi tekanan yang ditimpa di negeri sendiri menjadikan dunia ini seolah-oleh sempit. 

Negeri yang menjadi tanah tumpahnya darah tidak lagi selamat untuk diduduki. 

Itulah yang dihadapi oleh para sahabat di era awal perkembangan Islam di kota Mekah.

Bukan itu sahaja, hubungan kekeluargaan yang telah terbina sekian lama, juga akhirnya terputus apabila puncanya adalah agama Muhammad ini

Ada juga dalam kalangan para sahabat walaupun berasal daripada keluarga bangsawan Quraisy, namun hanya kerana memilih Islam sebagai agama mereka menjadikan keluarga berantakan.

Kekuatan Bertambah

Dalam keadaan para sahabat yang lemah semuanya diseksa dengan begitu kejam sekali, akhirnya Allah mendatangkan berita gembira buat Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. 

Berita ini sedikit sebanyak telah memberikan kekuatan untuk mereka terus bertahan.

Ya berita gembira tersebut ialah pengislaman Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib dan juga Saidina Umar bin al-Khattab RA. 
Mereka berdua sebelum Islam terkenal dengan kebengisan dan ketegasannya. Akhirnya memilih untuk berpihak kepada Nabi Muhammad dan Islam.

Siapa yang tidak tahu kisah pengislaman mereka berdua. Kisah pengislaman yang begitu berani sekali di hadapan para pemimpin Musyrikin Quriasy

Saidina Hamzah juga merupakan bapa saudara Nabi muhammad SAW. 

Tatkala beliau mengetahui anak saudaranya itu dicemuh oleh Abu Jahal, beliau yang ketika itu baru pulang dari memburu, terus meluru ke arah Abu Jahal.

Tanpa berfikir panjang beliau terus memukul Abu Jahal menggunakan busur panahnya sehingga berdarah. Dengan marahnya beliau menengking Abu Jahal. 

Katanya: “Berani engkau menghina dia sedangkan aku ini telah memeluk agamanya? Pukullah aku sekiranya engkau berani!” 

Akhirnya Abu Jahal mengalah sambil berkata: “Biarkan Amu ‘Imarah! Sesungguhnya aku telah menghina anak saudaranya dengan teruk sekali.”

Manakala kisah saidina Umar pula tidak kurang terkenalnya. 

Beliau yang pada mulanya bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang Quraisy menangkap ahli keluarga mereka yang memeluk Islam akhirnya tewas dengan keluarganya sendiri.

Sebaik sahaja mengetahui bahawa adiknya Fatimah dan suaminya telah memeluk Islam, beliau terus bergegas ke rumah dengan marah.

Tidak semena-mena beliau terdengar pula adiknya ketika itu sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran daripada Surah Taha. 

Lalu, Umar terdiam. Ternyata beliau benar-benar memahami bahawa ayat-ayat itu bukan sebarangan ayat. 

Ia benar-benar kalam Tuhan. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Setelah Diizinkan Baginda

Syeikh Ahmad al-Fathani dalam kitabnya Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib menyatakan: “Kerana banyak menyakiti mereka itu (musyrikin Quraisy), 

Lalu berpindahlah satu jemaah daripada kaum Muslimin yang turut disertai oleh Saidina ‘Uthman bi ‘Affan dan isterinya Ruqayyah puteri Nabi SAW ke negeri Habsyah dengan isyarat daripada Baginda.”

Di sana, mereka begitu dimuliakan oleh al-Najasyi, raja Habsyah itu. 

Maka, hijrah ini dikenali sebagai hijrah yang pertama ke negeri Habsyah pada tahun kelima kenabian. 

Mereka semua menetap di sana selama lebih kurang enam bulan.

Namun, sampai berita kepada mereka bahawa kaum Musyrikin sudah menerima Islam diikuti pula dengan pengislaman Saidina ‘Umar bin al-Khattab

Justeru, kebanyakan muhajirin di Habsyah ini mengambil keputusan untuk pulang semula ke Mekah. 

Namun, yang berlaku tidaklah seindah khabar yang sampai kepada mereka.

Sebaliknya, golongan musyrikin Quraisy merancang untuk melakukan pemulauan terhadap puak Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib sebagai satu bentuk perang saraf.

Kerana bagi mereka penentangan secara kekerasan seperti sebelum ini ternyata tidak menggugat kekuatan kaum Muslimin.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%