, ,

Meraih Keberkatan Waktu Pagi

Setiap manusia diberikan 24 jam sehari semalam oleh Allah s.w.t. 

Namun, kadangkala kita tidak sedar kita mensia-siakan satu waktu ini

Waktu tersebut ialah waktu pagi. Ada apa dengan waktu pagi?

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi harinya.” (Riwayat Abu Dawud)

Bukan itu sahaja, apa yang menarik, perawi kepada hadis ini iaitu Sakhr al-Ghamidi berkata: “Rasulullah s.a.w. apabila mengutus pasukan tentera, Baginda akan melakukannya pada awal pagi.” 

Beliau (Sakhr) juga merupakan seorang peniaga dan mengirimkan barang perniagaannya pada waktu pagi. 

Akhirnya perniagaannya berkembang dan pendapatannya juga bertambah. (Riwayat Abu Dawud)

Memahami Waktu Pagi

Dalam bahasa Melayu, waktu pagi juga disebut sebagai waktu siang. 

Namun, menurut Kamus Dewan, waktu siang lebih bersifat umum memandangkan ia merujuk kepada waktu dari matahari terbit sehingga terbenam. 

Sebaliknya waktu pagi pula lebih spesifik iaitu dari matahari terbit kira-kira jam enam hingga 10 pagi.

Justeru, perkataan pagi lebih sesuai untuk menggambarkan isu fokus yang cuba diketengahkan kali ini iaitu bermula waktu subuh sehingga ke waktu dhuha. 

Selang waktu itu juga merupakan waktu untuk kita meraih keberkatan sebagaimana hadis Nabi tadi.

Dalam ilmu falak, istilah cahaya dalam bahasa Arab juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu al-nur dan al-diya’. 

Dalam konteks ini, istilah al-nur merujuk kepada cahaya sinaran matahari yang wujud di langit sebelum terbitnya matahari. 
Manakala al-diya’ pula merujuk kepada pancaran cahaya matahari sebaik sahaja terbitnya matahari.

Perbezaan nilaian cahaya pada waktu pagi menandakan perbezaan juga dari segi saiz panjang bayang-bayang yang terhasil apabila terkena cahaya matahari. 

Malah ia juga bertepatan dengan firman Allah: “Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? 

-Bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)!

Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu. 

Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.” - (QS Al-Furqan 25: 45-46)

Waktu Pagi, Keberkatan dan Rezeki?

Jelas sekali dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. mendoakan umatnya agar pagi mereka diberkati Allah. 

Hal ini juga bertepatan dengan penggunaan perkataan bukur ( بكور ) yang bermaksud awal pagi sehingga terbitnya matahari. 

Syeikh Abu Usamah Salim dalam kitabnya Bahjah al-Nazirin Sharh Riyad al-Salihin pula berkata, “Waktu yang terbaik dan berkat adalah pada awalnya. 

Maka, digalakkan untuk memburu waktu yang berkat itu pada setiap hari bagi mendapatkan keberkatan padanya.”

Manakala, Tuan Guru Haji Hanafiah Abdul Razak pula merumuskan bahawa ayat al-Quran di atas pula seolah-olah Allah menyuruh kita memahami dua selang waktu yang penting iaitu waktu sebelum terbitnya matahari dan selepas waktu terbitnya matahari.

Sebagaimana yang telah disebut tadi, terdapat perbezaan nilaian cahaya matahari pada kedua-dua waktu tersebut.

Apa yang menarik pula, perbezaan tersebut memberikan kesan yang besar kepada seluruh makhluk Allah di muka bumi kerana ia dikaitkan dengan soal rezeki. 

Waktu sebelum terbitnya matahari, umpama waktu rezeki diluluskan manakala apabila terbitnya matahari, waktu rezeki diagih-agihkan. 

Benarkah waktu pagi dikaitkan dengan rezeki? Ya, benar.

Bukankah Allah s.w.t. sendiri telah perakukan dalam firman-Nya: “Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki.”

- (QS Al-Naba’ 78: 11)

Timbul pula satu persoalan, apakah kaitan antara cahaya matahari dengan rezeki? 

Ya, dengan cahaya mataharilah segala makhluk Allah di muka bumi ini memulakan kehidupan. 

Begitu juga dengan proses alam semula jadi bermula sebaik sahaja cahaya matahari terbit di ufuk. 

Itulah keberkatannya. Seluruh makhluk di alam ini memulakan kehidupan mereka menjelang pagi.

Bagi manusia, Allah menyediakan waktu pagi untuk kita mencari rezeki. 

Tidakkah kita berasa malu dengan makhluk-makhluk Allah yang lain kerana masih lagi lena dibuai mimpi saat ini?

Meraih Keberkatan yang Tak Akan Putus

Berbalik kepada hadis tadi, disebut bahawa menghidupkan waktu pagi merupakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dan amalan orang yang berjaya. 

Lihatlah Baginda Nabi melepaskan pasukan tentera pada waktu awal pagi. 

Begitu juga dengan seorang sahabat, Sakhr al-Ghamidi yang berjaya dalam perniagaannya dengan mengikuti sunah Baginda Nabi memulakan perniagaannya pada waktu pagi.

Jadi, boleh dikatakan untuk berjaya dalam hidup, perlu bermula seawal waktu pagi lagi. 

Waktu pagi perlu dihidupkan. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini.

Raihlah sebanyak mungkin keberkatan agar hidup kita sentiasa diberkati Allah.

Rujukan:

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Naba’ 78: 11

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Furqan 25: 45-46