, ,

Detik Kelahiran Agung

Sudah tiba masanya untuk umat manusia kembali dipimpin oleh seorang nabi dan rasul sebagaimana umat-umat terdahulu. 

Maka, ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa nabi dan rasul tersebut lahir daripada bangsa Arab.

Nabi Muhammad SAW juga dilahirkan sebagaimana manusia biasa. Baginda bukanlah malaikat.

Itulah hikmahnya mengapa Allah mengutuskan para rasul daripada kalangan manusia sendiri.

Namun begitu, Baginda dikurniakan dengan beberapa keistimewaan dan kelebihan berbanding manusia biasa. 

Sebagai tanda sorang nabi dan rasul itu merupakan insan yang dipilih Tuhan.

Saidatina Aminah Mengandung

Berkenaan kisah-kisah bagaimana Saidatina Aminah mengandungkan Nabi Muhammad SAW, ada pelbagai riwayat.

Antaranya daripada catatan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam kitabnya berjudul Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib.

Beliau mengatakan bahawa Saidatina Aminah mula mengandungkan Baginda SAW pada malam Jumaat pada bulan Rejab.

Ada sesetengah riwayat yang menambah pada malam Isnin.

Bukan itu sahaja, Syeikh Ahmad juga ada menyatakan beberapa kejadian yang ajaib berlaku pada malam Baginda SAW dikandungkan.

Antara kejadian tersebut ialah beberapa ekor haiwan di Mekah dapat berkata-kata.

Ia memberitahu kaum Quraisy: “Pada malam ini seorang bayi bernama Muhammad telah dikandungkan.

 Dia merupakan imam dunia dan pelita ahlinya.” Kemudian, tulis Syeikh Ahmad al-Fathani:

“Tiada tinggal tempat kerajaan bagi segala raja di dalam dunia melainkan berpagi-pagian ia hal keadaannya runtuh.”

Bermaksud, istana-istana para raja yang ada di dunia runtuh pada malam itu.

Namun, ketika itu Saidatina Aminah sendiri tidak sedar bahawa beliau sedang mengandung.

Kesemua tanda itu pula tidak berlaku pada dirinya.

Sepertinya ia sebuah khabar gembira kepada penduduk langit dan bumi tentang kemunculan nabi akhir zaman.

Keajaiban dan Kehilangan

Nabi Muhammad SAW ditakdirkan untuk dilahirkan sebagai seorang anak yatim.

Baginda tidak sempat bertemu mata dengan ayahanda yang tercinta. 

Tatkala usia kandungan Saidatina Aminah memasuki bulan yang kedua, Saidina Abdullah pun meninggal dunia di Yathrib.

Ketika berada bersama ahli keluarga sebelah ibunya, Bani al-Najjar. Ketika itu beliau dalam perjalanan pulang dari berdagang di negeri Syam.

 Maka, tinggallah Saidatina Aminah keseorangan tanpa suami tercinta di sisi.

Malah lebih menyedihkan lagi, suaminya itu tidak dapat melihat anak yang bakal lahir tidak lama lagi.

Namun, kesedihan itu sedikit sebanyak terubat dengan keajaiban-keajaiban yang dilihatnya sepanjang mengandungkan anaknya itu.

Antaranya menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, Saidatina Aminah telah diperlihatkan rupa seperti suatu sayap burung yang putih mengusap dadanya sehingga menghilangkan rasa takut yang dialami. 

Kemudian beliau diberikan minuman berupa susu yang dapat menghilangkan rasa dahaganya.

Begitu juga diperlihatkan kepada beliau dua orang wanita syurga yang mulia, Asiah dan Maryam dan sebagainya.

Saat Kelahiran

Akhirnya, setelah genap usia kandungannya, Saidatina Aminah pun selamat melahirkan zuriatnya yang mulia itu.

Ketika itu, subuh hari Isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah. 

Baginda disambut oleh Al-Syifa’ binti ‘Awf yang merupakan ibu kepada Abdul Rahman bin ‘Awf, hartawan Muslim yang terkenal itu. 

 Saidatina Aisyah RA menceritakan bahawa di kota Mekah ketika itu terdapat seorang lelaki Yahudi yang berniaga di situ.

Pada hari kelahiran Baginda SAW, dia berteriak kepada penduduk Mekah.

Katanya: “Wahai sekalian kaum Quriasy! Adakah pada malam ini terdapat sebarang kelahiran?”

 Jawab penduduk Mekah: “Kami tidak tahu!”

Kata orang Yahudi itu lagi: “Ketahuilah kamu semua bahawa pada malam ini telah lahir seorang nabi bagi umat ini yang memiliki tanda kenabian di antara dua tulang kipasnya!”

Rujukan:

Badr Al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib : Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%