,

Strategi Rasulullah Dalam Menghadapi Perang Hunain

Setelah Rasulullah mendengar bahawa kabilah Hawazin yang dipimpin oleh Malik bin Auf ingin memerangi umat Islam setelah peristiwa Fath (pembukaan) Makkah, maka Baginda merancang beberapa strategi yang sesuai.

1. Menghantar utusan untuk mendapatkan maklumat berkaitan Hawazin.

Rasulullah mengutuskan Abdullah bin Abu Hadrad Al-Aslami untuk berada bersama Hawazin kira-kira satu atau dua hari. Abdullah menjalankan misi penggalian maklumat tentang musuh lalu memberitahu kepada Baginda.

Antara maklumat penting adalah mengenai tempat-tempat kaum musyrikin kerana boleh jadi tentera Islam akan diserang secara tiba-tiba melalui perangkap yang mereka pasang. Itulah yang berlaku kerana pada serangan pertama Perang Hunain, tentera Islam dihujani anak panah sehingga kaum Muslimin tewas pada permulaan peperangan.

Namun, kekeliruan yang berlaku dalam strategi awal peperangan ini tidaklah menjejaskan integriti Rasulullah, malah ia bukanlah bukanlah wahyu daripada Allah tetapi ia sebagai ijtihad Baginda dalam masalah ketenteraan.

2. Mempersiapkan pasukan, meminjam baju perang dan tombak.

Rasulullah mempersiapkan pasukan berjumlah 10000 pejuang iaitu terdiri daripada kaum Muslimin yang turut serta bersama Baginda dari Madinah ketika peristiwa Fath Makkah, kemudian ditambah pula 2000 pejuang iaitu daripada kaum Muslimin yang baru memeluk Islam di Makkah. Jumlah keseluruhan ialah 12000 pejuang.

Setelah itu, Baginda juga meminjam tiga ribu tombak daripada sepupunya iaitu Naufal bin Harits bin Abdul Muttalib dan sejumlah baju perang daripada Shafwan bin Umayyah, malah Baginda memberi jaminan untuk memulangkannya. Sedangkan, pada ketika itu Naufal dan Shafwan masih musyrik. Namun, setelah itu Shafwan memeluk Islam.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)