,

Karma VS Kifarah

What goes around comes around

Kita pasti pernah mendengar ungkapan ini bukan? Kebiasannya mereka akan katakan ia sebagai ‘karma’.

Tetapi, tahukah anda bahawa karma merupakan fahaman dan kepercayaan dalam agama Hindu, Buddha dan Sikh.

Disebabkan hal ini, konsep pengistilahan karma sememangnya tidak pernah wujud di dalam ajaran agama Islam sepertimana kepercayaan mereka bahawa  karma yang menimpa manusia sebagai gambaran balasan terhadap sesuatu perbuatan buruk manusia tersebut.

Namun, di dalam Islam kita mempercayai apabila sesuatu musibah menimpa seseorang ia dianggap sebagai kifarah terhadap sesuatu dosa yang telah dilakukan di dunia bukannya karma.

Konsep karma & kifarah

Hukum  karma boleh didefinisikan sebagai pembalasan atas perbuatan yang dilakukan oleh seseorang sama ada ianya perbuatan baik atau buruk yang dibalas kembali menurut hukum alam atas apa yang telah seseorang itu lakukan.

Jika ianya perbuatan baik maka baiklah balasannya dan jika sebaliknya maka buruklah pembalasan yang seseorang itu akan terima. (Ahmad Rafizi Salleh, 1998).

Manakala, Kifarah pula membawa maksud balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hamba-Nya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati

Perbezaan karma dan kifarah

Bagi penganut agama Hindu, Buddha, dan Sikh, mereka mempercayai bahawa karma merupakan kelahiran semula buat mereka  selepas mati.

Sekiranya kehidupan mereka banyak membuat kebaikan, maka mereka akan mendapat karma yang baik.

Namun, jika mereka gagal mendapatkan karma yang baik, mereka akan dilahirkan semula dalam jelmaan binatang.

Berbeza dengan ajaran agama Islam, tiada istilah kelahiran semula dalam rukun iman kerana manusia diciptakan oleh Allah hanyalah untuk hidup serta mati sekali sahaja di dunia dan manusia akan dibangkitkan pada hari akhirat untuk Allah menghitung dan membalas segala amal perbuatan manusia ketika hidup di dunia.

Ya, kita mengetahui bahawa keduanya adalah suatu pembalasan namun kaedah dan hikmahnya sangat berbeza.

Bagi penganut hindu, karma dibalas mengikut kehidupan lalu mereka selepas mati, tetapi bagi umat Islam, kifarah terjadi secara terus ke atas pendosa ketika masih hidup di dunia tanpa perlu menunggu mati terlebih dahulu. 

Mempercayai hukum karma menurut pandangan dan fahaman agama Hindu seperti dilahirkan semula ke dunia boleh menyebabkan akidah seorang muslim itu terpesong.

Oleh itu, haram untuk kita mempercayai adanya kelahiran semula. Hal ini demikian kerana, sesudah mati, kita akan menanti hingga datangnya hari pembalasan iaitu hari kiamat.

Kifarah  bukti keadilan Allah

Sebagai seorang muslim yang beriman, kita mengakui bahawa Allah Maha Sempurna daripada segala sifat kekurangan kerana Allah adalah Tuhan yang Maha berkuasa ke atas setiap makhluk ciptaan-Nya.

Oleh itu,  Kita tidak boleh menafikan kekuasaan Allah dalam menentukan takdir dan Allah juga berhak mengadili secara teliti setiap perbuatan baik dan buruk manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat sehingga tiada seorang manusia yang akan merasa teraniaya. Sepertimana firman Allah di dalam Al-Quran :

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah (biji atom), niscaya dia akan menerima (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat dzarrah (biji atom) pun, niscaya dia akan menerima (balasan)nya.” (Al-Zalzalah :7-8)

 Setiap perbuatan manusia akan dipertanggungjawabkan  oleh diri sendiri di hadapan Allah ketika di akhirat kelak, di mana perbuatan baik akan dibalas dengan pahala dan pelakunya akan mendapat ganjaran syurga sedangkan perbuatan jahat akan dibalas dengan dosa dan pelakunya ditempatkan di neraka kecuali dengan bertaubat.

Namun, atas kehendak Allah boleh sahaja perbuatan dosa seseorang manusia itu  dibalas segera oleh Allah ketika dia masih di dunia.

Hal ini yang dikatakan sebagai kifarah. Allah telah berfirman bahawa:

“Barangsiapa yang mengerjakan amal yang saleh. maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa yang berbuat jahat maka (dosanya) atas dirinya sendiri; dan sekali, kali tidaklah Tuhanmu menganiaya hamba- hamba(Nya).” (Al-Fussilat:46).

Kifarah sebagai pengajaran

Kita perlu fahami, bahawa kifarah yang menimpa dapat menghapuskan dosa sekiraanya kita dapat bersabar dengan dugaan tersebut.

Sesungguhnya balasan orang yang sabar itu amat besar ganjarannya di sisi Allah. Selari dengan firman Allah:

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar:10)

Oleh itu, tiada manusia yang  mengetahui hikmah di sebalik setiap pembalasan, kecelakaan atau kemalangan (kifarah) yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas hamba-Nya.

“Seorang muslim mestilah menjadikan setiap kifarah yang menimpanya sebagai satu wasilah untuk mendapatkan ganjaran pahala dengan  cara sentiasa mengingati Allah dan memohon keampunan atas dosa-dosa yang pernah dilakukan kerana ujian yang menimpa adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan serta untuk dijadikan sebagai peringatan di dalam kehidupan. Seperti firman Allah di dalam Al-Quran:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal ia jahat bagi kamu.” (Al-Baqarah: 216)

Wallahualam.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Lailatun Nasuha Binti Norisham, Fatin Farhana Binti Badrul Hisam dan Norafina Binti Mohd Azli. Mereka merupakan mahasiswa Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

7 points
Upvote Downvote

Total votes: 13

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 76.923077%

Downvotes: 3

Downvotes percentage: 23.076923%