,

Tinggalkan Negerimu, Merantaulah ke Negeri Orang

Imam As-Syafii sangat menganjurkan umat Islam untuk merantau atau mengembara. Mengembara di sini bukan bermaksud semata-mata untuk mengecapi kenikmatan duniawi, jalan-jalan sambil swafoto dan memuat naik di laman sosial dengan caption yang pelbagai.

Tidaklah juga dikatakan ianya satu kesalahan, sekiranya tujuan ingin merakamkan momen dalam album perbiadi  Akan tetapi lebih sempurna sekiranya sambil berjalan sambil belajar dengan alam.

Berkelanalah untuk menuntut ilmu dimana dengan ilmu itulah tahap keimanan kita kepada Allah semakin meningkat.

 Di dalam Al- Quran, Allah S.W.T berfirman :

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.” (Surah Al-Mulk : ayat 15)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa dunia ini merupakan satu hamparan luas terbentang yang perlu diterokai dan dikaji oleh sekalian manusia.

Malah ada lebih daripada satu ayat di dalam Al-Quran yang menyebut perkataan “berjalanlah” atau “mengembaralah” di muka  bumi.

Islam sedari awal pengajarannya menggalakkan seseorang mengembara untuk menimba ilmu pengetahuan. Demikianlah sepertimana Allah menegaskan manusia supaya melihat alam yang pelbagai rupa, melihat kesan-kesan kaum yang terdahulu, berkenalan antara bangsa, dan pelbagai lagi.

Kesemuanya itu bertujuan meningkatkan keimanan dan ilmu pengetahuan tentang kehidupan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan.

KEMBARA PERTAMA IMAM AS-SYAFII

Imam As-Syafii telah dibawa oleh ibunya, Ummu Habibah al- Uzdiyyah mengembara dari Palestin ( tempat lahir Imam As-Syafii ) ke Mekah ketika Imam Syafii berusia dua tahun selepas kematian ayahnya. Tujuan Imam Syafii dibawa ke Mekah adalah untuk mendekatkan dirinya dengan nasab keluarganya (quraisy).

MERANTAU DEMI ILMU DAN KEMULIAAN

Orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam beristirehat di kampung halaman. Tinggalkanlah negerimu dan hidup asing ditempat orang .” – Imam  Asy-Syafi’i

Imam Asy-Syafi’i menggalakkan kita keluar mengembara meninggalkan kampung halaman menjelajah ke tempat baharu, dengan suasana baharu, pengalaman baharu, dan berkenalan dengan orang-orang baharu pula.

Ibarat air yang menjadi rosak tercemar kerana bertakung, jika ia mengalir, air itu menjadi jernih, jika tidak ianya akan keruh menggenang.” [ Diwan al- Imam Asy- Syafii ]

Daripada perumpamaan yang diungkapkan oleh ulama agung ini, jelas kita dapat fahami bahawa air yang mengalir itu lebih baik daripada air yang tidak mengalir.

Apakah konotasi di sebalik ungkapan tersebut?

Pastinya ia ditujukan bagi golongan yang hanya selesa berada di dalam lingkungan sendiri namun tidak pernah berada di luar dari tempurung.

Maksud yang diperkatakan oleh Imam Syafii Rahimahullah ialah tahap keilmuan orang yang mengembara lebih baik kerana mereka dapat mempelajari sesuatu perkara yang boleh memperbaiki diri  dan juga memberi kebaikan kepada orang lain.

PERGILAH MERANTAU HAI ANAK MUDA !

Di usia yang muda inilah boleh dikatakan usia yang paling ideal untuk mengembara jauh, kerana di usia begini tubuh badan masih kuat, sihat dan cergas.

Antara manfaat mengembara ini ialah :-

1. KEBEBASAN

Dengan keluar merantau, anda akan mengetahui betapa besar dan luasnya dunia ini. Di samping itu, banyaknya pengetahuan yang baharu yang diperolehi  ketika anda mulai berani melangkah keluar dari zon selesa dan salah satu jalan untuk mendapatkan kebebasan.

2.  MENYESUAIKAN DIRI DENGAN KEADAAN BARU

Bertemu dengan rakan baharu, budaya baharu dan situasi baharu dan kebiasaan sosial mereka akan membuatkan anda lebih berusaha untuk beradaptasi terhadap lingkungan tersebut.

Ini secara tidak langsung dapat melatih anda untuk berfikiran dengan lebih terbuka, peduli dan berani untuk mengeksplorasi dengan lebih luas.

3. MEMBINA KEMANDIRIAN

Dengan mengembara, ia dapat memupuk semangat lebih berani dan menjadikan diri lebih berkeyakinan.  Berani untuk melakukan setiap pekerjaan itu dengan sendiri dan tidak bergantung kepada sesiapa. Melalui cara ini, kita dapat pelajari nilai menghargai seseorang itu.

4. MEMPERLUAS JARINGAN

Apabila merantau, beerti akan banyak peluang untuk memperluaskan jaringan. Tidaklah kita asyik berada di dalam kelompok rakan-rakan yang tidak aktif, suka buang masa, asyik bergosip dan sebagainya.

5. MENJADI LEBIH BERANI DAN BERGANTUNG PADA DIRI.

Anda akan menjadi lebih berani kerana di situ anda akan belajar dari setiap keputusan yang dibuat sama ada ianya baik anda atau sebaliknya.

Mengembara sebenarnya mendidik kita bagaimana untuk bergantung pada diri sendiri, bukannya pada orang lain.

Ketika berhadapan dalam keadaan yang genting, kita dapat belajar betapa pentingnya setiap keputusan yang dibuat  

Maka dari situlah kita dilatih untuk sentiasa bersedia berhadapan dengan situasi yang mungkin sangat baik.

6. MENINGKATKAN NILAI-NILAI MURNI DALAM DIRI

Mengembara juga dapat meningkatkan nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Amalan nilai murni sememangnya penting bagi diri seseorang supaya lebih dihormati oleh orang lain.

Antara nilai murni tersebut ialah mematuhi peraturan, menepati masa, menjadikan kita lebih berdisiplin, bekerjasama dan lain-lain.

Hai anak muda,

Pernahkah kau berfikir,

Bahawa alam ini penuh rahsia,

Yang diciptakan,

Untuk mereka yang berfikir?

 

Berjalan bermusafirlah,

Merenung kebesaran Allah,

Berfikir dan bersyukur,

Kembaralah demi mencari ilmu,

Hayati ibrahnya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Ahmad Hidzir Bin Abdul Salam.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.