Antara kelebihan para nabi dan rasul yang diberikan Allah adalah mukjizat.
Ia bertujuan untuk membuktikan kebenaran mereka yang membawa ajaran untuk mentauhidkan Allah di samping untuk melemahkan musuh.
Mukjizat tidak diberikan kepada manusia biasa, malah ia tidak boleh dipelajari kerana ia khusus diberikan oleh Allah. Jadi, ia khusus untuk memuliakan para nabi dan rasul.
Mukjizat terbahagi kepada dua iaitu hissi dan maknawi.
Hissi ialah mukjizat yang boleh dirasai dengan pancaindera, contohnya air yang keluar daripada celahan jari Nabi Muhammad.
Maknawi ialah mukjizat yang tidak boleh dirasai dengan pancaindera, contohnya al-Quran iaitu hanya boleh dirasai setelah dipelajari dan diamalkan.
Jadi, kalau ada perkara luar biasa yang berlaku pada manusia lain, dipanggil apa pula?
Jom kita lihat satu persatu.
(a) Irhas
Perkara luar biasa yang berlaku kepada seseorang yang bakal dilantik menjadi rasul. Contohnya, Nabi Isa boleh bercakap ketika masih kecil.
(b) Karamah
Perkara luar biasa yang berlaku kepada orang soleh. Contohnya, Ashabul Kahfi.
(c) Ma’unah
Perkara luar biasa yang berlaku pada orang beriman sebagai suatu pertolongan daripada Allah. Contohnya, seseorang yang terselamat daripada kemalangan maut.
(d) Istidraj
Perkara luar biasa yang berlaku pada orang yang ingkar perintah Allah bertujuan untuk menambahkan lagi kesesatan mereka.
Contohnya, Allah memberi harta melimpah ruah kepada orang yang tidak beriman kepada-Nya.
(e) Sihir
Perkara luar biasa yang berlaku pada orang yang ingkar perintah Allah dengan cara meminta bantuan jin dan syaitan. Contohnya, santau.
Wallahu’alam.