, ,

Kenapa Penting Belajar Mengenai Akidah?

Korang setuju tak, kalau saya cakap yang ‘kepercayaan’ terhadap sesuatu itu penting? Kalau tiada kepercayaan, seolah-olah kita tiada tujuan.

Begitulah juga kehidupan kita di dunia, kalau kita percaya pada Allah, beriman pada Allah, maka kita akan ada tujuan hidup dan tidak akan mensia-siakan kehidupan begitu sahaja.

Fitrah manusia itu berkehendakkan agama, jadi kita tidak akan berasa tenang sekiranya melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.

Selain itu, orang yang beragama akan mudah berasa syukur dengan segala nikmat yang dimiliki.

Kepercayaan kepada Allah itulah yang menjadi asas kepada akidah, malah ia adalah perkara paling asas dalam Islam.

Akidah sendiri adalah ‘pintu’ masuk seseorang ke dalam Islam agar selamat kehidupannya di dunia mahupun di akhirat, jadi akidah perlulah dipertahankan sebaik mungkin hingga akhir hayat.

“Awaluddin ma’rifatullah” adalah ungkapan yang sangat penting. Ia bermaksud “Permulaan agama adalah mengenal Allah.”

Ilmu usuluddin ialah ilmu akidah. ‘Usul’ bermaksud asas manakala ‘al-din’ bermaksud agama, jadi ‘usuluddin’ ialah asas agama, iaitu ilmu yang membicarakan akidah mengenai keyakinan dan kepercayaan dalam agama Islam yang disertai dengan dalil.   

Sebagai analogi, agama itu seperti sebuah rumah, manakala ilmu usuluddin boleh dianggap sebagai asas tapak bagi rumah tersebut.

Tanpa asas yang kukuh, bila-bila masa rumah itu boleh roboh apabila ditimpa bencana alam.

Begitulah juga akidah, tanpa ilmu yang benar maka bila-bila masa kita akan tergelincir daripada Islam. Nauzubillah.

Namun, jika kita mempunyai asas agama yang kukuh, kita mampu menangkis segala hujah yang mengelirukan.

Timbulkan persoalan. Jika kita tidak mengenal Allah,  bagaimana kita hendak menyembah-Nya dengan sepenuh hati?

Wallahu’alam.