, ,

Tauhid, Akidah Dan Iman, Jom Fahami Maksudnya

Akidah boleh diibaratkan sebagai simpulan tali yang kukuh yang ada pada hati seseorang, malah tiada siapa yang dapat merungkaikannya melainkan orang itu sendiri dan Allah.

Jadi, akidah merujuk kepada kepercayaan yang tersimpul erat kepada Allah.

Jadi, apa kaitan akidah dengan iman?

Hakikatnya, akidah dimanifestasikan dalam bentuk keyakinan seperti yang diterjemahkan dalam rukun iman iaitu kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab, nabi dan rasul, kiamat, qada’ dan qadar.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ يَهۡدِيهِمۡ رَبُّهُم بِإِيمَٰنِهِمۡۖ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman (akidah) mereka yang sempurna itu…”

(Surah Yunus 10:9)

Jadi, akidah dan iman itu merujuk kepada perkara yang sama.

Bagaimana pula dengan tauhid? Tauhid berasal daripada kata kerja wahhada yang bermaksud mengesakan sesuatu dan menafikan berbilang-bilang.

Dalam erti kata lain, tauhid ialah mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, malah menafikan sesuatu yang setara dengan zat, sifat atau perbuatan-Nya.

Jadi, lawan bagi tauhid ialah syirik iaitu menyekutukan Allah. Maka, jelaslah bahawa ilmu tauhid membezakan akidah Islam dengan fahaman agama lain kerana ia berkait dengan keesaan kepada Allah.

Tidak dinafikan bahawa agama lain mengaku adanya tuhan tetapi mereka menyekutukan tuhan yang mereka sembah dengan perkara lain.

Contohnya? Agama yahudi yakin bahawa Uzair itu anak tuhan, manakala agama kristian pula berpegang dengan konsep triniti iaitu kepercayaan kepada tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus.

Maka, yakinlah bahawa Islam ada sebaik-baik agama, sematkan keimanan yang kukuh di dalam hati, beruntunglah kerana dipilih Allah untuk menjadi seorang Muslim.

Wallahu’alam.