Kalimah teragung, iaitu dua kalimah syahadah. Kita bersaksi bahawa:
(a) Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah
(b) Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka berkata: ‘Tiada Tuhan selain Allah.’ Sesiapa yang telah berkata: ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’, maka terselamatlah harta dan jiwanya daripadaku, kecuali dengan hak Islam dan hisab terhadapnya terserah kepada Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam suatu kisah juga ada dinyatakan bahawa Rasulullah membantah keras perbuatan Usamah bin Zaid yang telah membunuh orang yang berkata ‘Tiada Tuhan selain Allah’.
Usamah membunuh orang itu kerana merasakan bahawa orang tersebut hanya sekadar ingin menyelamatkan diri daripada dibunuh, lalu Baginda menyatakan adakah Usamah tahu apa yang ada di dalam hati orang itu.
Bukannya apa, boleh jadi orang itu ikhlas ketika mengucap dua kalimah syahadah dan benar-benar ingin memeluk Islam.
Jadi, setelah seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah dan masuk Islam, perlu pula menunaikan rukun Islam yang lain seperti menunaikan solat dan mengeluarkan zakat sepertimana yang dilakukan orang Islam yang lain.
Belajar step by step ilmu tentang aqidah, fekah dan tasawwuf, jangan hanya sekadar mengucap dua kalimah syahadah kemudian tidak menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.
Sehinggakan, pada zaman Rasulullah dan sahabat, jika tidak membayar zakat mereka akan diperangi. Pernah berlaku perbezaan pandangan antara Abu Bakar dan Umar, iaitu ketika Abu Bakar menjadi khalifah, beliau ingin memerangi golongan yang tidak membayar zakat.
Pada mulanya, Umar tidak bersetuju kerana mereka adalah orang Islam (mengucap dua kalimah syahadah) walaupun tidak membayar zakat.
Setelah Abu Bakar memberi hujah bahawa zakat itu adalah hak harta benda yang wajib dilaksanakan dan kefahaman berdasarkan hadis Rasulullah iaitu “Sesiapa yang telah berkata: ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’, maka terselamatlah harta dan jiwanya daripadaku, kecuali dengan hak Islam”, lalu Umar pun bersetuju kerana walaupun mereka mengucap dua kalimah syahadah tetapi mereka tidak menunaikan hak Islam antaranya zakat.
Wallahu’alam.