, ,

Kenapa Bahaya Kalau Mengikut Hawa Nafsu Dalam Masalah Furu’ (Cabang)?

Orang yang mengikut hawa nafsu kebiasaannya memang akan binasa. Hal ini adalah kerana hawa nafsu cenderung ke arah kepentingan diri sendiri dan hal-hal berkaitan dunia sahaja.

Bahkan, orang yang suka mencetuskan perselisihan dalam agama dan menjadikan orang Islam berpuak-puak juga hakikatnya telah tertipu dengan hawa nafsu.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ

“Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka.

Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).”

(Surah al-An’am 6:159)

Apabila mengikut hawa nafsu, sudah semestinya seseorang itu tidak dipandu dengan dalil dan hujah. Tanpa sedar, ia akan membawa kepada kehancuran umat.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah)…”

(Surah Ali-Imran 3:105)

Jadi, tidaklah perlulah mengikut hawa nafsu dalam membicarakan masalah furu’ (cabang) kerana ia isu khilaf jadi sudah pasti para ulama ada hujah masing-masing.

Malah, khilaf dalam masalah furu’ (bukannya masalah usul) sebagai suatu ekspresi keanjalan dalam pengamalan dan praktikaliti syariat Islam.

Rasulullah pernah menegur dua orang sahabat yang berselisih mengenai bacaan ayat al-Quran dengan qiraat yang berbeza, kata Baginda: “Kedua-dua kamu sudah baik (bacaannya). Bacalah. Janganlah kamu berdua berselisih, kerana kaum sebelum kamu telah berselisih lalu mereka dibinasakan.”

Jadi, Baginda mengakui perbezaan kedua-dua qiraat (bacaan) adalah kerana penurunan al-Quran dalam beberapa dialek kaum Arab, maka mereka dilarang berselisih setelah masing-masing ada hujah yang nyata kerana pada ketika itu perselisihan yang berlaku dikhuatiri ada pengaruh daripada hawa nafsu.

Wallahu’alam.