,

Islam Tidak Indah? Yang Tidak Indah Itu Kita

Cuba kita lihat suasana hidup kita pada hari ini. Di mana-mana kita dapat bertemu dengan orang Islam. Kita tahu bahawa kita Islam dan mereka juga Islam.

Tapi, kita sering juga merasa Islam itu tidak hidup dan kelihatan malap keindahannya. Kita tidak melihat Islam yang dibawa oleh penganutnya.

Walhal pemimpin kita Islam, berpuasa dan solat juga. Tapi mengapa dalam amalan lain kita tak ada beza juga dengan orang yang bukan Islam?

Bukankah solat itu yang membezakan antara kita dan orang kafir? Ini cerita orang yang masih bersolat, kalau mahu berkata tentang orang yang tidak solat apatah lagi.

Kenapa kita orang Islam sering dihina-hinakan oleh agama lain dan mereka yang lain? Apakah Islam itu tidak indah?

Apakah tidak cukup bahasa al-Quran yang begitu indah melebihi kata-kata penyair itu tidak sedikit pun dapat mengubah hati mereka?

Kita pengganas, kita mundur dan kitalah semua yang tidak bagus. Begitukah yang dianjurkan Islam kepada penganutnya?

Sudah tentulah tidak!

Tetapi mengapa keindahan itu tenggelam, tidak kelihatan dan tidak bersinar?

Sebenarnya Islam itu tidak ada salahnya. Tidak ada apapun perkara yang kurang daripada Islam itu sendiri. Islam itu adalah kebenaran, keindahan dan rahmat kepada semua makhluk yang ada di muka bumi.

Kebenaran itu tetap dengan kebenarannya walaupun ia tidak dilihat oleh ramai orang.

Walaupun tidak ada siapa yang membela kebenaran itu, namun ia tetaplah benar dan tidak ada siapapun yang boleh menolak hakikat kebenaran itu.

Bekas yang buruk

Hal yang menjadikan sinaran itu tidak dapat dilihat dan sukar untuk diterima dan mudah untuk diingkari adalah kerana bekas yang membawa barang berharga itu.

Bekas itu terlalu buruk sehingga orang tidak menyedari bahawa yang ada di dalam bekas itu adalah barang yang sangat indah dan terlalu mahal harganya.

Bekas itu adalah kita dan barang yang berharga itu adalah Islam itu sendiri.

Bagaimana orang sudi membeli jam tangan yang mahal jika kotak pembungkusnya hanya surat khabar?

Bagaimana orang mahu membeli berlian itu jika bekas yang membungkusnya hanyalah plastik yang selayaknya membungkus sampah?

Nah, itulah yang mahu ditanyakan kepada diri kita sendiri. Bungkusan apakah yang kita persembahkan untuk agama kita.

Apakah kita yang telah menjadikan orang lain hilang percaya terhadap agama Islam yang mulia ini?

Bekas yang baik adalah peribadi yang baik. Peribadi yang bersopan dan sempurna akan menjadi kunci kepercayaan orang lain kepada Islam.

Apabila kita menganuti agama Islam yang bererti selamat dan penyerahan diri ini, maka kita perlulah menunjukkan perilaku sebagaimana yang dianjurkan oleh agama.

Bagaimana mahu memulakan kekuatan beragama itu?

Binalah kekuatan diri dengan bersolat jemaah. Solat jemaah merupakan pusat pertemuan kita dengan Allah dan umat Islam yang lain. Di situ, kita dapat membina batu-bata kekuatan dan seterusnya membawa keluar kekuatan itu kepada masyarakat seluruhnya.

Solat sumber kekuatan

Adab ketika menghadap Allah hendaklah kita pelihara. Bagaimana kita mahu mendapatkan pertolongan daripada Allah jika kita tidak menjaga adab dengan Allah ketika beribadah kepadaNya?

Tatkala menghadap Allah, lupakanlah semuanya tentang hal-hal dunia. Janganlah kita peduli tentang hal-hal dunia lagi yang tidak memberi manfaat kepada diri.

Apakah perilaku kita ketika mahu berhadapan dengan raja? Sudah tentu kitalah yang paling awal tiba, paling bagus pakaiannya dan tidak mengantuk serta tidak leka ketika berhadapan dua mata dengan raja.

Maka kenapa tidak seperti itu keadaan kita ketika berhadapan dengan yang menciptakan raja itu? Apakah syurga dunia saja yang kita harapkan?

Persiapkanlah ilmu kita untuk berhadapan dengan dunia yang sudah semakin tenggelam dengan sinaran keindahan Islam ini.

Kitalah yang perlu menjadi mata rantai yang akan mengembalikan keindahan sinaran itu.

Badaal Islamu ghariiban wa saya’udu ghariban, fa tuba lil ghuraba’ (Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang yang terasing itu).

Sekian,
Wallahu’alam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Rahimah binti Mohammad Ikhsan. Berasal dari Sungai Besar, Selangor.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.