, ,

Debu Tanah Yang Diterbangkan Angin

Pagi nirmala. Kesejukan angin pagi menyapu dan berlalu hingga terasa ke tulang sulbi. Berceratuk kepala umat manusia laksana kura-kura dengan 1001 matlamat dan tujuan pada hari tersebut. Rata-rata mempunyai visi dan misi mencari rezeki, memberi makan anak bini.

“Abang pergi dulu, Murni.” Usai menerima salam sang isteri, sang suami mengatur langkah mengikut derap kaki. Tegap dan kemas langkahnya.

“Sarah, cium tangan ayah dulu ya,” pantas si anak mendapatkan ayahnya lalu mencium tangan si ayah.

Masih awal pagi, namun telah menjadi kebiasaan buat Imran untuk membuka bengkel kereta seawal jam 8 pagi. Bukankah berpagi-pagi itu membuka pintu rezeki?

Imran tersenyum sendirian, benar kata-kata Ustaz Daud dalam kuliah subuh semalam. Tidak pernah putus rezeki beliau daripada perniagaan bengkel kereta ini.

Walaupun bengkel kereta beliau tidak segah dan secanggih bengkel bangsa lain, kejujuran dan amanah dalam berniaga membolehkan beliau terus menjadi pilihan para pelanggan.

“Eh, murah sangat ni bang Imran, takkan tukar minyak hitam je sepuluh ringgit?” Fadzly yang merupakan antara pelanggan bengkel tersebut menyuakan not kertas 50 ringgit kepada Imran.

“Tidak mengapa Fadzly, saya hanya ambil kos oil filter sahaja. Lagipun kamu datang bawa minyak hitam kamu sendiri.” Balas Imran sambil memulangkan kembali not kertas 50 ringgit kepada Fadzly.

‘Berkat rezeki bang Imran,’ kata Fadzly dalam hati sambil tersenyum. Tidak pernah sekali Imran menekan pelanggan waima menipu. Itulah yang membezakan Imran dengan peniaga lain di bandar antah-berantah ini.

******

“Aziz, kamu dan Norshim dah solat Zohor? Jika belum, kita solat berjemaah di bilik solat bengkel sebelum kamu berdua berehat. Nanti saya dan Raslan akan sambung kerja di bengkel waktu kamu berdua berehat.”

Imran tidak pernah alpa dan culas dalam membimbing anak buahnya supaya tidak melupakan kewajipan sebagai seorang Muslim, walau sesibuk manapun kerja di bengkel.

Setiap pekerja adalah seperti ahli keluarga, sahabat dan saudaranya sendiri. Walaupun sebagai majikan dan tuan punya bengkel, tidak pernah Imran menjerkah anak buahnya.

Bahkan jauh sekali untuk memalukan anak buahnya di hadapan pelanggan walaupun atas kesilapan anak buahnya sendiri.

Hubungan baik dan akhlak mulia seakan telah sebati dalam jiwa Imran.

Sehinggalah pada suatu hari, ada sesuatu yang menarik perhatian beliau untuk turut serta dalam perbincangan waktu rehat di antara anak buahnya usai solat Zohor. Norshim kelihatan sedih dan tidak bersemangat pada hari ini.

“Norshim, kamu kelihatan tak macam biasa hari ini, boleh kongsikan jika tidak menyusahkan?” Imran menduga.

Norshim cuba melarikan pandangan. Beliau rasa bersalah. Tiadalah niat beliau untuk menyusahkan rakan-rakan bengkel, jauh sekali majikan beliau, Imran.

“Sebenarnya…”

Sepatah kata-kata Norshim terucap sebelum beliau menundukkan pandangan. Ada nada sebak dalam suaranya.

“Ceritalah Norshim, kita dah macam keluarga. Apa yang kamu katakan ini hanya dalam ruang lingkup empat penjuru bilik solat bengkel kita ini. Tidak akan dibawa ke luar bengkel mahupun ke kedai kopi.” Imran memberikan jaminan.

Rakan-rakan Norshim mengangguk faham. Cukuplah kisah ini untuk diceritakan sekadar untuk mencari solusi.

“Malu saya nak cerita kepada bang Imran dan kawan-kawan, dah macam menyusahkan pula.” Barulah kini Norshim mengangkat muka, namun matanya kelihatan berkaca digenangi air.

Semua mata tertumpu kepada Norshim. Aziz menepuk-nepuk bahu Norshim, memberikan sokongan dan kekuatan.

“Sebenarnya, tunang saya mahu memutuskan ikatan pertunangan kami. Dia telah ada lelaki lain yang lebih berharta dan bergaya.” Dalam tangisan, Norshim merungkai pertanyaan yang sedia ditebak sebelum ini.

“Allahuakbar…” spontan Imran berkata dalam wajah yang masih terkejut.

Rakan-rakan yang lain saling berpandangan. Tidak percaya.

“Mengapa mudah hatinya menduakan cintamu, Norshim? Bukankah tak sampai sebulan majlis kamu akan berlangsung?” Imran berkata seraya memandang kad undangan walimatul urus yang diberikan Norshim baru-baru ini pada dinding bengkel.

Raslan menggelengkan kepala. Aziz masih menepuk bahu dan belakang Norshim, cuba menghadirkan ketenangan.

Imran bukan tidak kenal dengan tunangan Norshim, anak kepada orang kaya di bandar antah-berantah ini. Walaupun kaya, beliau bukan sepatutnya berperangai sebegitu. Ibu bapanya seorang yang dermawan dan tidak lokek membantu masyarakat. Pasti ada sebab lain.

“Norshim, ceritalah apa yang berlaku. Bukan bang Imran tak kenal tunangan kamu.”

Norshim serba salah. Beliau memandang Imran, Raslan dan Aziz silih berganti.

“Sebenarnya. Setelah tunang saya menjadi cantik dan menawan, beliau telah lupa siapa yang bersusah payah ketika beliau susah dahulu, siapa yang sanggup membelikan beliau produk pelangsingan badan, tidak jemu-jemu menyokong perniagaan kek beliau.” Terang Norshim.

Berkerut dahi Imran dan rakan-rakan yang lain. Tak sangka, cerita sebegini yang sering dipaparkan di drama-drama televisyen mahupun laman sosial akhirnya menjadi kenyataan.

“Kalau ikutkan saya, memang dah lama saya kerjakan dia dengan kekasih dia tu. Tak ada perempuan lainkah hingga tunangan orang pun direbut? Tapi, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi!” Keluhan kecewa Norshim terselit rasa marah yang dipendam kemas sebelum ini, akhirnya terluah sudah.

“Norshim, dugaan Allah adalah untuk hambanya yang boleh menerima dan mengharungi ujian tersebut. Memang kita kadangkala akan marah dan kecewa, tapi janganlah berpanjangan atau berdendam, kerana syaitan sentiasa menanti peluang untuk menyucuk jarum-jarumnya agar kita jauh daripada Allah.” Tenang kata-kata Imran.

Tersentak Norshim. Pantas beliau beristighfar dan menarik nafas dalam-dalam. Tidak wajar beliau menjadi lemah dan marah berpanjangan. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, tidak kira yang nampak waima tersembunyi.

“Terima kasih bang Imran, kawan-kawan. Benar, saya perlu tabah di atas dugaan ini. Pasti ada hikmah yang tersembunyi.” Norshim sudah mampu tersenyum, walaupun masih kelat senyumannya.

“Kamu baliklah dan berehat. Biar bang Imran dan rakan lain sambung kerja kamu. Kamu perlu masa untuk bersendiri atau bersama keluarga.” Pinta Imran. Rakan lain turut mengiyakan. Semoga Norshim bangkit dan menjadi lebih kuat pasca dugaan ini.

******

Pada malam itu, termenung panjang Imran di ruang tamu. Teh ‘O’ panas yang disediakan isterinya sudah lama menjadi suam.

“Apa yang abang fikirkan?” Puan Murni menebar jala persoalan kepada Imran.

Imran mencerlung ke arah isterinya yang tercinta, wajahnya serius.

“Baru beberapa hari lepas Murni tunjuk kat abang pasal cerita Aku Pomen yang tengah viral di laman sosial tu, cerita luahan rasa sebenar pomen yang putus tunang kerana tunang dia dari susah jadi senang dan kemudian lupa diri, hari ni kisah mirip cerita tu terjadi pada staf abang sendiri,” Imran masih teringat akan wajah sedih Norshim tadi.

“Benar bang, inilah yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Bagaimana kita berkongsi masalah dan isu yang sama dalam masyarakat. Apa yang terjadi kepada seseorang tu, tak mustahil akan terjadi kepada orang lain dalam masyarakat.” Terang Puan Murni bersetuju dengan kata-kata Imran tadi.

“Oh ya, mari sini bang. Ada sesuatu yang saya nak tunjukkan kepada abang.” Panggil Puan Murni sambil melambai-lambai ke arah Imran.

Imran sedia tersenyum sambil merapati isterinya. Bukan sekali Imran menemani isterinya menanda buku latihan para pelajar, bahkan beliau tahu, jika dipanggil untuk melihat hasil kerja pelajar-pelajar isterinya pasti ada perkara yang menarik untuk dilihat.

Beliau melihat dan membaca salah satu karangan yang ditunjukkan oleh isterinya, bertajuk ‘Saya Tidak Mahu Menjadi Gajet Elektronik‘.

******

Hari ini guru memberikan tugasan karangan bertajuk Saya Sebuah Gajet Elektronik. Namun, saya nekad untuk menulis dan mencoret mengikut rasa dan gerak hati saya.

Mengapa saya tidak bersetuju dengan tajuk yang telah diberikan? Ini kerana tiada gajet elektronik di rumah saya dan digunakan oleh semua ahli keluarga saya.

Ayah saya masih menggunakan buku log panjang untuk menulis segala catatan dan pembelian barang. Bahkan menulis pendapatan kasar untuk hari ini pun masih menggunakan buku log kesayangannya itu sebelum ke bank keesokan harinya.

Ibu saya pula masih seorang yang konservertif dan klasik. Walaupun sibuk dan masih perlu menulis catatan dan kerja tugasan beliau, beliau seperti ayah, mempunyai buku catatan peribadi harian. Cuma bagi tugasan yang perlu ditaip, komputer peribadi inilah yang menjadi teman.

Tidak perlu tablet mahupun telefon pintar bagi melengkapkan tugasan mereka berdua. Berapa ramai ibu bapa yang leka dengan tablet dan telefon pintar masing-masing sehingga anak terabai?

Ibu bapa bermain permainan Gula-Gula Pecah (Candy Crush) atau Permusuhan Puak (Clash Of Clans) hingga lupa mengajar anak-anak mengaji ataupun solat.

Oleh kerana itu, saya tidak mahu menjadi sebuah gajet elektronik. Biarlah saya menjadi buku Muqaddam ataupun Mari Bersolat Upin Ipin kerana ibu dan ayah saya kerap memegang, membelai saya dan seterusnya mengajar saya menggunakan dua buku tersebut.

******

“Panjang akal budak ini. Beliau jujur dan syukurlah beliau ada ibu bapa yang prihatin.” Ulas Imran, usai membaca karangan pelajar tersebut.

“Abang tahu siapa budak bertuah ini?” Getus Puan Murni seraya menunjukkan kulit hadapan buku latihan tersebut yang tertera nama pelajar tersebut.

“Zahrah Maisarah Binti Ali Imran?” Kata Imran seraya memandang isterinya. Ada senyuman manis yang ditebar pandangan mata yang berkaca.

Anak kita, abang,” ujar Puan Murni sambil mengangguk.

“Alhamdulillah..” Puji Imran dalam pandangan yang kian berkaca.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sufian AM (Mohammad Sufian bin Abdul Manan). Berasal dari Shah Alam, Selangor.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.