Merantaulah..
Orang berilmu dan beradab tidak akan beristirehat dan di kampung halaman.
Tinggalkan negerimu dan hidup asing (di negeri orang).
Merantaulah…
Kau akan mendapat pengganti daripada orang-orang yang engkau tinggalkan (kerabat dan
kawan).
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah berjuang. (Imam Syafie)
Keindahan bait-bait syair Imam Syafie, seorang ulama besar yang cukup menyentuh naluri kita dengan kebijaksanaan kata-kata mutiara yang penuh hikmah dan pengajaran.
“Tahniah, Congratulation, Mabruk ‘alaik” tersemat indah di atas kad ucapan dan diselitkan di celah-celah jambangan bunga ros merah menyala.
Kelihatan segak dan cantik menyarungkan jubah besar dan mortar board terletak kemas di atas kepala sambil menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda yang didambarkan selama empat tahun akhirnya tercapai jua.
Allah itu sebaik–baik perancang dan kita sebagai hambanya hanya pelakon yang melakonkan setiap babak kehidupan.
Namun begitu, jangan kita alpa dan berputus asa kerana doa merupakan senjata bagi orang Islam serta menjadi penghubung untuk kita merintih kepada-Nya.
Hal ini kerana, dengan Al-Malik (kekuasaan) dan Ar-Rahim (kasih sayang) Allah mampu mengubah segalanya dengan sekelip mata.
Begitulah juga soal rezeki, kerja yang baik, jodoh soleh solehah dan juga kematian yang khusnul khotimah.
Apabila melangkah kaki ke alam pekerjaan, kebanyakan siswazah meletakkan pengharapan tinggi dan angan-angan yang terlalu indah apabila menamatkan pengajian dalam sesuatu bidang dan yakin akan mudah memperolehi pekerjaan yang diidamkan.
Kekurangan pengalaman dan lambakan penganggur menjadi faktor utama para graduan sukar mendapat tempat dalam bidang pekerjaan yang diinginkan.
Oleh hal yang demikian, siswazah harus bangkit dan membuka mata serta minda kerana dunia hari ini memerlukan kita keluar berhijrah mencari makna sebenar ‘ijazah kehidupan’.
Apabila kita mengorak langkah berhijrah dan merantau ke negeri orang, kita mula sedari bahawa hidup tidak selalunya indah.
Pekerjaan yang kita lakukan seharian hanyalah cukup untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang perantau.
Namun, satu perkara yang manusia sering alpa, bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu telah Allah tulis buat hamba-hamba-Nya.
Rezeki yang diperolehi bukan juga dalam bentuk wang ringgit, malahan boleh jadi rezeki itu dalam bentuk kehidupan yang selesa, makan dan minum yang cukup dan sebagainya.
Jika rezeki buat kita tiada di ufuk utara, carilah di ufuk barat bumi-Nya. Menyerah kalah bukanlah titik pengakhiran kehidupan kita sebagai manusia, tetapi teruskanlah berusaha dan berdoa dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Allah itu Maha Mendengar.
Oleh itu, sebagai seorang graduan, kita sering dimomokkan dengan ujaran orang sekeliling yang memandang rendah pekerjaan yang kita lakukan adalah tidak setimpal dengan pendidikan yang kita miliki.
Walhal tanpa mereka sedari mereka serba sedikit memberi tekanan kepada para graduan dalam menentukan masa hadapan mereka sendiri.
Adalah menjadi satu hak buat setiap para graduan dalam memilih pekerjaan yang diingini walaupun tersimpang dari bidang yang dipelajari, kerana kadangkala Allah itu lebih mengetahui apakah yang terbaik buat hamba-Nya.
Paling utama dalam kehidupan ini adalah memperbetulkan niat kita. Untuk apa kita melakukan sesuatu pekerjaan?
Adakah untuk memuaskan hati orang sekeliling, ataupun mendapat keredaan Allah yang paling utama.
Maka, teruskanlah berjalan menempuh kehidupan ini, kerana di setiap kesedihan akan diiringi kebahagiaan yang tidak terduga.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nor Fazera Binti Sulaiman. Berasal dari Sungai Besar, Selangor. Latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-Undang di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Hobinya memasak dan mencuba sesuatu yang baharu ( menulis, mencuba resepi masakan baharu).
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.