,

Bersyukurkah Kita Apabila Diuji Dan Dikasihi Allah?

Setahun dah berlalu. Kehidupan masih di tahap struggle. Setiap kali ketirisan wang berlaku,
Semestinya hati ini sering berbolak balik.

Emosi jadi tak stabil, jiwa kacau dan mulalah bertanya, “Ya Allah, kenapa aku yang dipilih untuk menghadapi ujian Mu ini. Sedangkan setiap hari aku diuji diseksa batin begini.”

Hati sedih tapi dalam masa yang sama aku belajar untuk pasrah, belajar untuk redha. Sebab sebahagian orang yang sabar akan terima ganjaran yang sangat lumayan.

Setahun juga suamiku kehilangan pekerjaan yang hampir 10 tahun dia berkhidmat di sebuah organisasi swasta.

Saat hilangnya upaya dia bekerja, akulah yang terpaksa korbankan segala kederat dan wang ringgit untuk pastikan kehidupan kami sentiasa mencukupi walaupun tidak selesa.

Akulah yang menjadi pemimpin dalam rumah untuk pastikan keperluan anak-anak dan suami tidak terabai. Untuk sentiasa pastikan anak-anak gembira dan ceria harinya walaupun kami hanya makan nasi berlauk sekali sehari kerana kekurangan keperluan makanan.

Setiap hari jugalah bank-bank dan badan kewangan lain akan kerap telefon untuk meminta bayaran bulanan yang telah lama bertunggak.

Sehinggakan aku sendiri jadi kemurungan dan taknak teruskan hidup lagi. Setiap hari jugalah hati syaitan ni bercakap, “Nak minum racun biarlah aku dan 5 anak mati” sebab kerap diganggu dengan hutang-hutang yang tak tahu mana lagi sumber yang aku nak dapatkan.

Aku ialah pekerja kerajaan dengan gaji bersih RM1000 sahaja. Nak cukupkan keperluan anak 5, bil api bil air, bayaran bulanan kereta dan macam macam lagi.

Sedangkan belanja bulanan sewaktu suami bekerja dulu hampir RM5000 sebulan. Termasuk perbelanjaan ibu bapa kedua belah pihak keluarga.

Sewaktu ini, setiap kali solat sahaja pasti air mata aku berjurai-jurai dan sebak menahan tangis. Beratnya dugaan aku sampai aku rasa tak nak hidup.

Beratnya ujian aku sampai aku rasa nak tidur sepanjang hari. Anak-anak terbiar kelaparan kerana tiada kekuatan lagi nak menghadapi hari-hari yang penuh ujian dan liku ini.

Setahun ye? Setiap kali hujung tahun terpaksa menyediakan barang-barang persekolahan dan keperluan mereka.

Baju sekolah, buku sekolah, kasut sekolah dan macam macam lagi. Yuran taska anak pun hampir RM1000. Mana aku nak cari? Mana aku nak dapat sumbernya dengan gaji berbekal RM1000 sebulan?

Kadang hampir putus asa untuk hidup. Walaupun dikelilingi keluarga dan sahabat yang sangat positif, percayalah pasti akan ada rasa kecewa dan putus harap dalam diri.

Saat berlaku ujian yang berat ni, aku tidak pernah lagi membelakangkan perintah Allah SWT.

Dengan Allah, aku bergantung harap, memohon pertolongan dan memohon keampunan di atas dosa-dosa yang aku lakukan.

Bila berlakunya keadaan ini, bila baca tentang cara menjemput rezeki walaupun poket kering, semuanya berbalik pada Allah SWT.

Belajar untuk redha dan ikhlaskan, halalkan setiap tenaga dan wang ringgit yang kita buat untuk suami anak-anak. Jangan pernah rasa terpaksa atau terlalu demand saat kejatuhannya suami.

Sebab semua itu Allah SWT aturkan. Menguji sabarnya kita di tahap mana? Kerana kita kan khalifah Allah?Hidup mati kita pun kerana Allah.

Sepanjang kejatuhan taraf ekonomi keluarga ni, banyak benda aku buangkan. Keseronokan dunia dan nafsu duniawi aku potong segalanya. Barangkali sudah sampai masanya aku dan keluarga fokuskan ibadah kami untuk bekalan akhirat kelak?

InshaAllah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Farah Nadia.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.