,

Kejadian Manusia Yang Telah Ditentukan Allah

Kejadian manusia bermula daripada janin dalam jangka masa seratus dua puluh hari iaitu melalui tiga peringkat.

(a) 40 hari pertama : nutfah iaitu air mani

(b) 40 hari kedua : alaqah iaitu segumpal darah

(c) 40  hari ketiga : mudghah iaitu ketulan daging

Selepas seratus dua puluh hari, akan ditiupkan roh dan ditulis baginya empat perkara iaitu berkaitan:

(a) Rezeki

(b) Ajal

(c) Amal

(d) Celaka atau bahagia

Roh ialah nyawa yang menghidupkan manusia. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Muslim, roh ialah jisim seni yang mengalir dan menyerap dalam tubuh, sebagaimana air menyerap dalam dahan yang hijau.

Antara hikmah proses kejadian manusia yang berlaku secara berperingkat ini adalah untuk mengajar manusia supaya bersikap berwaspada, tenang dan menjauhi sikap tergesa-gesa.

Begitulah manusia yang bermula daripada janin, kemudian dilahirkan sebagai bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa sehinggalah orang tua. Semua itu berlaku secara berperingkat.

Selain itu, Allah mengetahui semua kejadian manusia sejak sebelum diciptakan lagi. Namun, apa yang diketahui-Nya tidak menghalang ikhtiar dan niat manusia di bumi ini kerana pengetahuan itu adalah sifat yang tidak memberi kesan.

Bahkan, Allah sendiri telah memerintahkan manusia supaya beriman kepada-Nya, taat perintah-Nya dan tinggalkan larangan-Nya.

Maka, semua itu menjadi dalil bahawa manusia sendiri yang ikhtiar untuk mencapai apa yang diinginkan, memilih untuk beriman atau sebaliknya. Jadi, tidak boleh menyalahkan Allah jika seseorang itu melakukan maksiat sedangkan manusia itu sendiri yang ikhtiar atau memilihnya.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

“Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan,

dan yang membawanya kepada bertaqwa; – sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

(Surah ash-Shams 91:7-10)

What do you think?

10 points
Upvote Downvote

Total votes: 10

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%