,

Fasa Kehidupan: Sambungkan Titik Itu

Seusai aku menonton video bertajuk Connect the Dots daripada seorang individu berpengaruh di laman sosial atau dikenali sebagai social imfluencer, Aida Azlin, aku tersenyum sendiri, terasa seperti kena dengan kehidupan yang aku lalui.

Semenjak tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda, hati aku jadi kosong dan semakin hilang hala tuju sedangkan pelbagai perancangan telah aku aturkan sebelum aku tamat peperiksaan semester terakhir aku.

Aku memandang kosong kertas yang ditulis penuh dengan perancangan. Mindaku jadi kosong, semangatku hilang. Aku merenung wajah dan kedua tanganku yang penuh dengan kesan eczema yang flare out semenjak aku habis belajar.

Muka dan tangan aku merah kepanasan, macam tengah tadah muka dengan pemanggang. Tak selesa tu memang semestinya, menggelupas, berdarah.

Aku malu, pergi mana-mana mesti ada yang bertanya, pandang aku macam penyakit aku ni berjangkit. Akhirnya, aku end up berkurung dalam bilik, 24/7 duduk depan kipas sebab nak bagi sejuk.

“Hmm, mungkin stress sebab nak cari kerja kot…” aku cuba positifkan diri tapi aku tahu, aku bukan sahaja fikir pasal nak cari kerja, tapi aku fikir pasal masalah keluarga dan masa depan aku.

Overthinking? Dah lama tak buat perangai overthinking ni.

Aku akui, semenjak tamat pengajian, aku asyik berfikir macam mana nak tolong keluarga, nak tambah pendapatan, nak kumpul simpanan dan pelbagai lagi.

Dan disebabkan perangai aku yang selalu sangat berfikir segala benda ni, eczema aku sering flare out; confirm sebab stress.

And the cycle goes on, aku stress, tak dapat pergi cari kerja, tak dapat tolong keluarga, overthinking, eczema flare out, dan stress.

Aku pendam. Semua benda aku pendam sampai umi abah risau. Depan mereka, aku senyum macam tiada masalah, tapi bila aku berseorangan, air mata mengalir, kumpul kekuatan sendiri dan cuba untuk bangkit.

Satu hari, aku tertidur lepas aku buat solat tahajud. Sejak aku dapat terima kenyataan yang Allah tengah uji aku, aku cuba perbaiki solat, pertingkatkan ibadah, dekatkan diri dengan Allah sebab aku tahu, Dia sahaja yang boleh tolong aku.

Kawan-kawan semua tinggalkan aku, dah lama. Aku bermimpi, seolah-olah dapat hidayah yang sukar aku gambarkan ketenangannya.

Aku tiba depan Kaabah, aku menangis; memohon keampunan daripada-Nya dan memohon untuk dikurniakan kesembuhan. Aku tersedar, terasa panas pipi; air mata mengalir ltanpa henti. Ya Allah, tenangnya di sana.

“Allah sayang aku. Allah sayang aku…” Air mata aku masih mengalir. Aku kena kuat, aku kena bangkit.

“Katakanlah; “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batasterhadap diri mereka sendiri, janganlah kau berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya”
[39:53]

Setiap hari aku bangkit dengan rasa penuh rasa kesyukuran, diberi nikmat kehidupan. Aku lengkapkan diri dengan semangat yang positif, untuk memajukan diri aku.

Kini, apa yang aku hajati sudah tercapai. Aku percaya yang setiap apa yang berlaku dalam kehidupan aku ni ada sebabnya. Aku percaya yang setiap perkara yang terjadi adalah salah satu proses persiapan yang Allah atur untuk masa depan aku.

Aku makin kuat, makin positif. Eczema aku pun dah jarang menyinggah, Alhamdulillah.Kalau menyinggah pun, mungkin sebab perubahan cuaca dan faktor luaran yang lain.

Kini, aku mampu tersenyum melihat umi abah bangga dengan pencapaian aku. Setiap fasa kehidupan yang dilalui hanya dapat dikupas hikmahnya setelah kita berjaya melalui fasa tersebut.

Jadi, percayalah dengan perancangan dan aturan Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Orked. Beliau merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaysia Sarawak.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.