,

Rezeki Yang Dipandang Hina

* cerita ini adalah berdasarkan pengalaman penulis

 

SEMAKIN lebat!

Bermula dengan titisan kecil, kini molekul-molekul jernih dari langit itu turun semakin lebat. Aku yang tidak berpayung apatah lagi berbaju hujan ini sudah kebasahan.  

Aku terus memulas minyak. Motor EX5 kini semakin laju. Entah berapa laju aku tidak pasti. Meter yang terpapar sudah mati. Jarumnya hanya statik. Memang tidak ada niat untuk aku baiki semua itu. Bukan seringgit dua!

Safety first!

Terbayang-bayang papan tanda di kilang.  Ya, ya aku tahu.  Keselamatan itu lebih utama dari wang ringgit. Tetapi selagi boleh dikawal dengan tangan tanpa guna wang, itulah yang akan jadi pilihan.

Wang!

Bukan segalanya dalam kehidupan. Tetapi sebab wang, ramai yang hilang pertimbangan. Aku juga bukan orang senang,  tetapi rezeki yang Allah beri sentiasa cukup.

Motor meluncur lagi. Jalan agak licin. Aku tidak mampu pergi lebih laju. Lagipun ini kawasan perumahan. Takut jika ada kucing yang melintas tiba-tiba. Tak pasal jadi asbab aku hilang nyawa.

Motor aku perlahankan. Mata tertarik pada satu pemandangan. Tak! Bukan pantai atau sungai yang terbentang. Bukan juga taman bunga yang beraneka warna.

tetapi…

Hanyalah sajian tong sampah yang hina. Baunya dari jauh sudah menjamah hidung. Mematikan selera.  

Lebih-lebih lagi di waktu hujan lebat. Air yang berlendir mula mengalir dari celahan plastik-plastik yang terburai. Mengalir memenuhi jalan tar.

Motor semakin aku perlahankan. Air mata laju bercucuran. Sama laju dengan air hujan. Dalam hati sudah beristighfar.

Seorang lelaki tua.

Dengan baju kemeja hilang warna. Berseluar sebelah lepas ke buku lali, sebelah lagi tergulung hingga ke lutut. Bertopi dan berserkup plastik kepalanya. Seliparnya, selipar hitam lusuh yang carik. Tiada penutup hidung.

Dia leka. Mengisai sampah dari tong. Kayu di tangan ditolak ke sini sana. Jumpa! Sebotol mineral kosong. Dikutip dengan tangan tanpa sarung. Tidak jijik mengaut dalam timbunan reja sampah. Dimasukkan ke dalam karung guni yang tergantung di basikal buruk roda tiga.

Semakin aku hampir dengannya, hampir dengan bau yang menusuk hidung, memualkan rongga tekak, semakin hati diratah sebak.  

Tidak jadi untuk aku mengangkat tangan kiri, menutup hidung walau bau sampah itu tidak mampu kuhidu.

Antara mual dan loya, aku memilih untuk menghormati si tua yang sedang mencari rezeki. Walau dia langsung tidak memandang pada aku yang lalu di sisi.  

Dia sedang mencari rezeki dengan cara dia sendiri.  

Allah beri dia kekuatan untuk berhadapan dengan kehinaan dan kejelekan sampah. Sisa yang dicampak orang.  

Allah beri dia kekuatan untuk mencari rezeki yang halal walau hina pada pandangan.  

Allah kurniakan dia hati yang kuat demi rezeki untuk anak isteri.

Bukan kekuatan tubuh badan. Tetapi kekuatan hati menghadapi ujian Tuhan.

Allah… sungguh aku tak kuat untuk melihat.

Tertembak rasa hati dengan cara lelaki tua ini mencari rezeki. Tertampar rasa pipi bila aku yang muda, sihat dan bergaji kadang-kala mengeluh dengan rezeki…  dan… terhambur rasa iri bila dia begitu tabah menghadapi kehinaan demi rezeki yang halal!

Wahai Allah, bila aku rapuh dengan kesusahan, kau hadirkan contoh teladan. ‘Ada yang lebih susah dari kau wahai hamba Tuhan!’ KAU bisik padaku yang sering kalah dengan ujian.

Inilah cebisan kehidupan. Cerita manusia yang tiada kesudahan. Allah sajikan buat tatapan aku, seorang insan kerdil yang sering rapuh dan sesat jalan. Agar aku jadikan panduan untuk terus melangkah dengan bertongkatkan syukur.

Menolak kerikil di jalan. Menolak bisikan putus asa syaitan. Selagi nyawa dipinjam Tuhan, selagi itu ada yang akan Allah berikan.  

Cebisan kehidupan orang, adalah rezeki yang Allah hadiahkan agar hati ini kuat dan percaya pada ketentuan.

Sebak tertinggal di jalan sebaik motor meninggalkan kawasan ‘rezeki’ orang.  Aku ingin hadiahkan sesuatu buat dia.

“Ya Allah, andai dia punya anak.  Jadikan anak dia seorang yang soleh. Yang bersyukur dengan rezeki sampah yang dibawa pulang oleh si ayah dalam lebat hujan, dan dia kebasahan.  Moga berkat rezeki mereka.  Moga berubah kehidupan mereka. Moga semakin dekat diri mereka dengan-Mu. Sebagaimana dekatnya aku bila melihat cebisan kehidupan yang menyentuh seluruh rasa dalam kalbu.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Norsamila binti Samsudin. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Norsamila Samsudin.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)