Satu persatu insan di hadapanku selesai menunaikan tanggungjawab. Satu, dua, tiga, insan sudah bergerak pergi.
Dan kini tibalah giliran aku pula. Aku duduk di salah satu kerusi kosong yang ada di situ. Mata tertancap pada skrin komputer yang terpampang jelas di hadapanku.
Aku memasukkan no ID pelajarku lalu butang ‘Enter‘ ku tekan. Satu persatu gambar wajah-wajah bakal pemimpin ini ku tatap.
Aku mencari-cari wajah calon pemimpin yang sudah ku niatkan dari awal lagi untuk ku undi. Mana tidaknya, seminggu yang lepas aku sudah menghadiri sidang manifesto yang telah diadakan di kampus.
Jadi telah ku senaraikan calon-calon yang kukira layak untuk memegang jawatan. Selesai memilih, butang “Undi” di klik.
Alhamdulillah selesai aku menunaikan tanggungjawabku sebagai mahasiswi untuk memilih pemimpin yang ku kira berwibawa untuk memimpin tampuk kepimpinan universiti ke arah yang lebih baik dari sebelumnya.
Hidup kita ini sentiasa saja berkisar tentang pilihan. Apa yang kita pilih itulah yang menentukan masa depan yang sering saja berubah.
Maka harus bijak untuk bertimbang tara dengan apa yang kita mahukan. Kerana setiap apa yang kita lakukan pasti akan di bentangkan di hadapan Tuhan.
Moga kita punya jawapan saat di tanya kenapa jalan ini yang menjadi pilihan.
Seperti itu jugalah kehidupan. Tuhan sentiasa memberi kita lebih dari satu cara untuk hidup. Kerana dia memberi kita akal untuk menentukan mana yang lebih baik. Keputusannya terserah pada kita.
Mahukan apa?
Cahaya atau kegelapan?
Antara hak dengan yang batil?
Mahu pentunjuk atau kesesatan?
Ibadah atau kemaksiatan?
Pahala atau dosa?
Dan inginkan syurga atau neraka?
Hatta dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Semuanya bergantung pada pilihan yang kita buat. Moga-moga Allah sudi memimpin hati ini ke jalan yang benar.
Justeru, jika tidak pasti dengan apa yang bakal dipilih. Maka ambillah apa yang mendekatkan kamu pada Allah.
Mungkin jalannya tidak indah. Mungkin hatimu kan luka parah. Mungkin takdir ini akan membuatmu sengsara.
Tapi, pada akhirnya segala apa yang dikorbankan itu pasti berbayar. Penat lelahmu kan dihitung Tuhan setiap satunya tanpa sisa. Walau sekadar amalan yang cuma sebesar zarah.
Jalan ini, walau penuh onak dan duri. Pasti akan membawamu bertemu Pencipta yang satu. Dan kau akan abadi bersama kebahagiaan yang dijanjikan. Ganjaran syurga yang tiada bandingan.
Yakinlah.
Kerana dunia ini akan selalu mematahkan hati. Dan pasti, di syurga nanti, kepingan hati-hati itu kan dicantum kembali. Ya Allah. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?” (Surah Al Balad ayat 10)
“Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan atas dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh).” (Surah An naba’ ayat 39)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.