,

Dua Ayat Ini Membuatkan Rasulullah Menangis

Bilakah kali terakhir kamu membaca Al-Quran hingga berlinangan air mata?

Menyingkap sirah para anbiya’ dan kisah salafussoleh, hatimu mudah tersentuh dan merasa teduh.

Kamu terpana membaca kisah Aisyah yang ditohmah dalam peristiwa al-Ifk. Peristiwa yang hampir memecahkan ukhuwah kaum Muslimin.

Kota Madinah malah gempar dek khabar fitnah yang menimpa wanita pertama mereka. Hinggalah akhirnya turun wahyu dari langit membela maruah Ummul Mukminin itu. (Surah Nur Ayat 11)

Kamu takjub membayangkan pohon tamar yang bergegar akibat digoncang Maryam. Lebih mencengangkan, fizikal dan mental wanita suci itu masih lemah selepas melahirkan Isa A.S.

Dari manakah Maryam beroleh kekuatan kalau bukan daripada Tuhannya? (Surah Maryam Ayat 25)

Hatimu bergetar mengenang Kaab bin Malik yang disisih kerana tidak ikut keluar berperang. Dek keterlanjuran itu, kamu melihat penuh sayu betapa Kaab sangat merindui perhatian Rasulullah dan keampunan Tuhannya. (Surah Taubah Ayat 118)

Membaca ujian berat yang menimpa insan-insan agung ini, bagaimanakah air matamu masih tertahan daripada mengalir?

Kamu membaca lagi. Helai demi helai, lembar demi lembar. Hingga akhirnya kamu bertemu sebuah hadith dalam Sahih Muslim.

Diriwayatkan daripada sahabat bernama Abdullah bin Amru RA, suatu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam membaca firman Allah di dalam surah Ibrahim :

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ – 14:36

“Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam) maka dia termasuk dalam golonganku; dan sesiapa yang menolak seruanku maka sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dan ucapan Nabi Isa A.S,

إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيم – 5:118

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalangi) kerana sesungguhnya mereka hamba-Mu; dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kemudian mengangkat tangan dan berkata, “Ya Allah, ummatku… ummatku.” lalu Baginda menangis teresak-esak. Allah SWT bertitah, “Wahai Jibril, pergilah menemui Muhammad dan tanyakan (sedang Allah sudah sedia mengetahui) mengapa dia menangis? Maka Jibril bertanya dan Baginda memberi jawapan (yang sudahpun diketahui Allah). Mendengar jawapan itu Allah berfirman : “Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan katakan Kami akan meredhai urusan ummatmu dan engkau tidak akan disusahkan.” (Sahih Muslim)

Dadamu terasa sempit. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terlalu kasih kepada ummat sehingga Baginda menangis teresak-esak.

Malah Baginda memberimu gelaran ‘Saudara-saudara yang dirindukan’ – kerana kamu tergolong dalam kalangan ummat yang beriman kepada risalah walaupun tidak pernah bertemu Baginda.

Apakah ada cinta yang lebih agung daripada itu?

Kemudian anganmu terbang lebih jauh. Dahulunya air matamu begitu mudah mengalir saat menonton filem Hindustan.

Hatimu malah remuk redam membaca derita Zainuddin yang ditinggalkan Hayati dalam novel Pak Hamka.

Pada kesempatan lain, matamu berkaca-kaca menghayati drama Korea yang kamu ikuti episodnya dengan penuh setia.

Hati kecilmu kini terdetik.

Ke manakah hilangnya emosi itu tatkala kamu membaca Al-Quran?

PENGAJARAN

  1. Sambutlah cinta Nabi kepada kita dengan mengikuti sunnah Baginda. Apa-apa yang Baginda perintahkan kita turutilah, dan apa-apa yang Baginda larang maka bersungguhlah kita menjauhinya.
  2. Usah malu untuk menangis. Air mata bukan petanda mutlak lemahnya jiwa seseorang. Malah dalam hubungan antara hamba dan Pencipta, tangisan berupaya menghidupkan semula hati yang gersang serta dahagakan kasih sayang Tuhan.
  3. Berusaha mempelajari bahasa Arab supaya lebih mudah memahami Kalamullah dan hadith-hadith Rasulullah. Jika tidak berkemampuan, bermulalah dengan usaha kecil-kecilan seperti membiasakan diri menyelak tafsir al-Quran dan terjemahan.

PENUTUP

Kini, kamu sudah mengetahui dua ayat yang membuatkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menangis – ayat ke 36 surah Ibrahim dan ayat ke 118 surah al-Maidah.

Buat akhirnya aku ingin tinggalkan satu pertanyaan, untuk aku dan kamu sama-sama tanyakan kepada diri.

“Bilakah kali terakhir kita membaca Al-Quran hingga berlinangan air mata?”

 

RUJUKAN
1. Terjemahan Quran | Tanzil.Net
2. Terjemahan Hadith | Sunnah.Com
3. Rasulullah Menangis Ketika Bertemu Ayat Ini, Ustadz Johan Saputra Halim – https://www.youtube.com/watch?v=k9EeJs0y87Y

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Haikal Fansuri dari Ipoh Perak. Kini menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Syariah Fiqh Wa Usuluh. Selain artikel bernuansa Islami, beliau turut menulis kisah-kisah fiksyen bertema thriller dan misteri. Karya nukilannya boleh dibaca menerusi Facebook page Haikal Fansuri

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%