, ,

Mencari Jalan Pulang (bahagian 2-akhir)

Saat-saat indah itu terhenti bila anaknya datang kembali.

“Ok mak. Dah jom balik. Siap dah,” katanya.

Mak cik itu meminta diri. Kucium lagi jari jemarinya. Perlahan dia bangun mengekori anaknya.

Dia bukan emakku. Dia telah pergi mengikut anaknya. Dia telah pun meninggalkan aku sendirian. Kerana dia bukan emak.

Dia bukan emakku.

Aku bungkam. Sedih. Kepalaku semakin sakit kurasakan. Dan lebih terasa sakit, bila hatiku juga sedih.

Kehidupan menyedihkan kadangkala kurasakan. Aku ada semua. Ada anak-anak. Ada keluarga. Ada adik beradik. Ada kerjaya. Aku ada segala yang kuperlukan dalam hidup ini.

Cuma, satu-satunya yang aku tidak ada hanyalah emak dan ayah.

Hidupku yang dulunya lengkap kini tidak lengkap lagi. Kerana aku sudah tidak mempunyai tiket ke syurga. Tiketku sudah diambil Allah SWT.

Hidupku sunyi.

Walau sebaik mana dan sehebat mana pun ketakwaan yang kutingkatkan pada Allah SWT, hidupku masih sunyi. Kerana yang memenuhi hatiku suatu ketika dulu ialah cinta dan sayangku pada kedua orang tuaku.

Matlamat hidupku ketika itu membahagiakan mereka. Membanggakan mereka. Berbakti kepada mereka hingga hujung nyawaku. Bila mereka sudah tidak ada, matlamat itu seperti sudah sirna entah ke mana.

Balik dari klinik kesihatan, aku terfikir-fikir. Sudah lama aku tidak pulang ke Sungai Ramal Baru. Rumah pusaka emak dan ayahku. Sudah lama sangat aku tidak menghabiskan masa di situ.

19 JANUARI 2018. JUMAAT.

Malam esoknya, aku memandu bersama-sama dua anakku balik ke Sungai Ramal Baru, Kajang. Pukul 8 malam. Aku rindu.

Kalau dulu, aku balik malam-malam begini, aku akan tidur di sana. Tidur dengan emak.

Tapi sampai di Kajang, hanya ada adik dan anak-anaknya.

Kujenguk bilik arwah emak suka. Katil lama sudah tidak ada. Bilik sudah menjadi bilik anaknya.

Kujenguk bilik arwah ayah pula. Segalanya masih ada. Tetapi penghuninya orang berlainan. Adik iparku tinggal di bilik itu.

Aku hanya mampu menghabiskan masa 10 minit sahaja di rumah pusaka. Yang kucari tidak ada. Sejam memandu, hanya 10 minit aku duduk di rumah itu.

Apa yang dapat kulakukan di sini?

Aku tertanya-tanya di dalam hati.

Aku memang dialu-alukan untuk balik selalu. Tetapi yang aku cari sudah tidak ada.

Yang aku rindu sudah tinggal nama.

Aku meminta diri.

Kerana aku perlu ke rumah kakakku, Mimie.

Sampai di rumah Mimie, dia tidak ada.

Yang ada cuma emaknya.

Aku panggil emak Mimie dengan panggilan emak. Dulu aku memanggilnya makcik. Dia isteri kedua ayah. Lepas ayah meninggal, aku memanggilnya emak. Aku yang meminta untuk memanggilnya emak. Dalam adik-beradikku, hanya aku memanggilnya emak.

Kulihat emak sudah tua sangat. Dulu emak gempal. Sekarang emak dah kurus. Kulit emak makin cerah.

Emak gembira aku datang. Berbual 20 minit dengan emak buat aku lupa aku masih sakit. Platlet aku masih rendah sebenarnya.

Berbual dengan emak Mimie, buat aku semakin rindu dengan emakku sendiri. Aku rindu, melihatnya itu membangkitkan segala kenanganku dengan arwah emak. Aku semakin dihimpit kerinduan.

Malam itu, aku kembali ke rumahku sendiri.

Aku sebenarnya tercari-cari jalan pulang ke kampung halaman.

Tetapi bila aku sampai ke kampung halamanku, suasananya sudah tidak sama.

Orang yang kucari sudah tidak ada.

Orang yang kurindu sudah pergi selamanya.

Berpusing-pusing aku mencari jalan pulang pada orang yang boleh kupanggil emak. Dari satu rumah ke satu rumah.

Walaupun aku memanggil emak kakakku sebagai emak, Ia tetap tidak sama. Emakku telah pun pergi selamanya.

Aku sudah pun menerima hakikat itu lama dulu. Empat tahun yang lalu.

Tetapi kadangkala rindu membawaku pulang ke kampung halaman.

Walaupun aku sudah pulang ke kampung halaman, rinduku tidak hilang.

Rindu ini akan kekal begini. Bertambah setiap masa setiap ketika setiap hari. Rindu yang terpaksa kubawa hingga mati.

Hanya doa yang boleh kutitipkan. Pada kedua insan yang kucinta jiwa dan raga penuh kasih sayang.

Aku tidak faham sebenarnya.

Aku yang sudah kehilangan kedua orang tua, tercari-cari jalan pulang ke pangkuan. Ingin melepaskan kerinduan.

Tetapi mereka yang masih mempunyai orang tua, tidak pula tercari-cari jalan pulang menemui mereka. Pulang hanya sekali sekala. Telefon jarang-jarang. Bercakap hanya yang perlu sahaja.

Bila berjumpa, mata sibuk menatap telefon dan menghabiskan masa di media sosial. Habis cuti mereka pun pulang ke rumah sendiri.

Jarang sangat mereka berbual- bual dengan emak dan ayah mereka yang memerlukan perhatian anak-anak tercinta. Berinteraksi yang hakiki.

Pulanglah.

Pulanglah selagi mereka masih ada.

Kerana bila mereka sudah tidak ada, jalan pulang yang kau cari itu tetap akan ada di situ. Cuma suasananya pula yang berbeza.

Hanya kesunyian dan kerinduan yang akan menemani perjalanan pulang kau nanti. Sehingga ke akhir usia.

 

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Roziyawati binti Abdul Shukor (nama pena: Nuarindah Nuari). Pengalaman bekerja 12 tahun dalam bidang perakaunan. 6 tahun daripadanya dalam bahagian pengurusan di salah sebuah anak syarikat kumpulan Johor corporation. Sekarang, beliau merupakan perunding kecantikan mary kay dan peniaga niqab. Ikuti perkembangan beliau di Facebook https://www.facebook.com/ogie.ujie

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%