,

Refleksi Iman Dalam Star Wars: The Last Jedi

WARNING : SPOILERS AHEAD

Ramai peminat Star Wars tidak berpuas hati dengan filem terbaru arahan Rian Johnson ini.

Sekalipun menampilkan mutu lakonan cemerlang serta pengalaman visual yang sukar dilupakan, The Last Jedi dilihat bergelut dalam cubaannya memperkenalkan konsep baru kepada para peminat filem Star Wars yang kini sudah menjangkau lebih tiga generasi.

Kenapa Luke meninggalkan peta kalau dia benar-benar tidak mahu ditemui?

Ketika The Resistance menjatuhkan bom ke atas kapal Dreadnought milik The First Order – apa berlaku pada konsep graviti di angkasa lepas?

Mengapa Luke Skywalker terlalu menggelabah sehingga mahu membunuh Ben Solo yang cenderung kepada Dark Side?

Bukankah dulu Luke pernah melalui situasi yang sama dan berhasil mempengaruhi Darth Vader untuk kembali ke pangkal jalan?

Aku sebenarnya tak ada masalah dengan aspek logik dalam filem Star Wars. Malah aku suka filem ini walaupun terdapat kekurangan di dalamnya.

Nama pun filem fantasi sains fiksyen. Segala elemen sains mumbo-jumbo kita serah sajalah kepada kipas susah mati Star Wars untuk bahaskan.

Pada akhirnya, yang lebih utama dibawa pulang adalah gagasan idea dan nilai pengajaran dalam filem The Last Jedi.

Untuk mengelakkan catatan ini menjadi terlalu panjang, hadith ringkas di bawah bakal dijadikan teras untuk memandu refleksi kita: 

«من أحب لله، وأبغض لله، وأعطى لله، ومنع لله؛ فقد استكمل الإيمان»

Rasulullah Sallallah Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menolak juga kerana Allah – maka imannya telah sempurna.” (Hadith riwayat Tirmizi)

CINTA & BENCI KERANA ALLAH

Dalam pertempuran di planet Crait, kebencian Finn yang menggunung tinggi kepada The First Order telah menyebabkan dia mengingkari arahan Poe Dameron supaya berundur.

Namun beberapa detik sebelum Speeder yang dipandunya merempuh meriam musuh, Rose muncul dan menyelamatkan Finn daripada terkorban.

Finn yang naif langsung bertanya mengapa Rose menghalangnya, lalu Rose menjawab, “That’s how we’re gonna win. Not fighting what we hate, but saving what we love.”

Cinta dan kasih sayang bukan satu permainan.

Kalau bukan cinta kepada agama Allah, tidaklah Bilal sanggup menahan seksaan yang dikenakan Umayyah ke atas tubuhnya.

Kalau bukan cinta kepada Rasulullah, tidaklah para sahabat rela membentangkan tubuh mereka menjadi perisai Baginda sewaktu di Uhud.

Malah lihat saja kedua ibu bapa kita. Kalau bukan limpahan kasih sayang, serta doa daripada mereka, mampukah kita berada di tempat yang kita duduki hari ini?

Renunglah ke dalam nurani. Kepada siapa selama ini kita memberi cinta? Adakah redha Allah menjadi tali yang mengikat cinta kita?

Bagaimana pula dengan rasa benci di dalam hati? Setulus manakah hati kita membenci sesuatu? Andai benar kita tulus membenci, mengapa tidak menegur perbuatan yang menyalahi ajaran Allah dan Rasul?

Takut digelar mak cik bawang? Bukankah sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam “Agama itu nasihat?”

MEMBERI & MENOLAK KERANA ALLAH

“Rey, I want you to join me. We can rule together and bring a new order to the galaxy.”

“Don’t do this, Ben. Please don’t go this way.”

Ini mungkin titik terpenting dalam naratif Star Wars yang panjang dan melelahkan. Malah aku sedikit berharap Rey akan menyambut tangan Kylo Ren dan The Last Jedi terus tamat di sini.

Kelak selepas dua tahun, Episode Nine bakal menjadi filem Star Wars yang paling dinantikan kerana membawa premis yang lebih menarik untuk ditonton. Malangnya babak tersebut tidak berlaku dalam filem ini.

Ah maaf, terbawa-bawa pula. Okay berbalik kepada mesej yang ingin disampaikan.

Pakej kehidupan datang bersama pilihan-pilihan. Merasa tersepit adalah dilema yang akan terus menimpa hidup insan.

Namun dalam beberapa keadaan, kita sukar untuk berkata tidak kepada pilihan-pilihan yang datang menyinggah.

Mahu menghadiri kuliah agama, bertembung dengan Konsert OneRepublic di Stadium Merdeka. Mahu menghafal semuka lagi al-Quran, kawan ketuk pintu bilik ajak main futsal.

Di sinilah prinsip hidup memainkan peranan. Hanya dengan menjadi manusia berprinsip, kita akan mampu berkata tidak dan menolak apa sahaja kehidupan suakan kepada kita.

Dorongan ke arah maksiat dapat kita hadapi dengan perisai iman, tawaran-tawaran yang bakal menjejaskan fokus kita dalam mencapai matlamat dapat kita tolak dengan baik, dan begitulah hal-hal lain yang berkaitan.

PENUTUP

Cinta dan benci adalah amalan hati. Memberi dan menolak pula amalan badani. Beruntunglah orang-orang yang teguh mencintai, mampu membenci, galak memberi dan tegas menolak segala sesuatu; semata-mata mengharapkan redha Allah SWT.

Jika catatan ringkas ini mengandungi secebis kebaikan, sebarkan kepada rakan-rakan anda. Mudah-mudahan kita tidak jemu berkongsi kebaikan demi meraih ganjaran yang berlipat kali ganda.

May the Force – oh wait.

May Allah be with you!

RUJUKAN
1. 4 Ciri-Ciri Kesempurnaan Iman oleh Ustazah Norhafizah Musa Tazkirah Radio Klasik FM https://www.youtube.com/watch?v=J1pA76Bx5B0
2. The Last Jedi’s Biggest Storytelling Innovation https://www.theatlantic.com/entertainment/archive/2017/12/the-last-jedis-biggest-storytelling-innovation/548609/

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Haikal Fansuri dari Ipoh Perak. Kini menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Syariah Fiqh Wa Usuluh. Selain artikel bernuansa Islami, beliau turut menulis kisah-kisah fiksyen bertema thriller dan misteri. Karya nukilannya boleh dibaca menerusi Facebook page Haikal Fansuri

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 75.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 25.000000%