,

Bicara Hati Seorang Anak

Ibu, sekarang ini anakmu berada di sisimu
Aku pulang dengan membawa sejuta harapan
Aku ingin melihat Ibu tersenyum seperti dulu

Kalau boleh Ibu membuka mata walau sekejap jua
Atau Ibu dapat mendengar bicaraku ini

Walau apapun terjadi, aku tetap redha dengan ketentuan Ilahi
Andainya ditakdirkan ibu akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini
Aku tetap tabah menghadapi ujian yang getir ini.

Ibu, aku pohon ampun di atas apa jua dosa yang aku lakukan selama ini terhadap ibu

Aku seringkali melawan cakap ibu
Aku juga sering menyakiti hati ibu
Ibu aku tahu jasa dan pengorbananmu terhadapku tersangat banyak

Sembilan bulan ibu mengandugku adalah tempoh yang lama
Darah yang mengalir semasa melahirkan aku membuktikan ibu terpaksa menahan kesakitan
Berapakah harga susu ibu yang aku hirup selama dua tahun

Bila aku menangis ibu terpaksa berjaga malam menghiburkanku
Bila aku sakit ibu ke sana-ke mari berikhtiar mengubatiku

Makan minumku sejak kecil siapakah yang menyediakannya jika tidak ibu
Wang saku, pakaian sekolah, yuran, alat tulis dan sebagainya ibulah yang membayarnya
Ibu, masih bermain difikiranku

Ketika aku berjaya dalam peperiksaan SPM
Pada masa itu ibulah insan yang paling gembira di dunia ini
Penat jerih ibu telah terbayar sebahagiannya

Aku juga masih teringat ibu sungguh kecewa
Bila aku tidak mahu masuk ke universiti
Aku tidak rela menambah penderitaan ibu

Aku ingin membantu ibu mencari nafkah buat meringankan beban ibu menanggung adik-adik
Tapi ibu terus mendesakku supaya masuk ke universiti

Akhirnya aku mengalah dan melangkah dengan hati yang berat ke universiti
Rahsia yang ibu simpan selama ini terbongkar jua
Kalung emas pusaka nenek buat ibu yang tergantung di lehermu sudah tiada lagi
Tanah sepencarian arwah ayah yang sebidang tidak lagi menjadi milikmu

Ibu telah korbankan segalanya untukku

Ibu, masih terngiang-ngiang ditelingaku pesanan ibu
Ibu mahu aku menjadi anak yang soleh
Ibu sering berpesan supaya aku tidak meninggalkan sembahyang
Ibu menyuruh aku berbaik dengan semua orang dan bersahabat dengan orang-orang soleh
Ibu, kini aku pulang dengan membawa segulung ijazah

Tidak lama lagi aku mendapat kerja yang bergaji lumayan
Tapi ibu mungkin tidak sempat melihatnya

Aku bercita-cita tidak mahu melihat lagi ibu membanting tulang empat kerat
Saban hari menyembah pohon getah milik orang lain
Aku ingin membawa ibu tinggal di rumah batu
Aku ingin memandu kereta dan ibu berada disebelahku

Ibu, badan ibu semakin panas
Peluh jernih membasahi wajah ibu
Urat saraf ibu semakin menegang

Ibu maafkan aku ibu
mengucaplah ibu, mengucaplah

Lailahaillallah Muhammadurrasulullah, Lailahaillallah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh AKBAM (nama pena).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.