, ,

Hero Tak Bergadus

Pertama sekali Al-Fatihah kepada arwah ma (1965 – 2009). Semoga arwah mendapat kesenangan di alam barzakh dan juga di akhirat kelak.

30/10/2018; genaplah setahun semenjak pembedahan yakni kali kedua dalam hidup aku. Pembedahan melibatkan pembuangan sendi paha yang telah reput akibat terjatuh ketika keluar dari tandas.

Dari kecil, tak dapat dikira berapa kali aku jatuh. Cakap saja apa. Katil? Tangga? Wheelchair? Tongkat? Tandas? Cuma pokok, basikal dan motor ja belum.

Sebenarnya aku seorang OKU yang menghidap Cerebral Palsy dari kecil. Sekolah, berkawan dan bersosial sama sahaja seperti orang normal.

Bahkan aku dari kecil tidak pernah bergaul dengan golongan OKU lain yang seusia denganku. Hanyalah selepas memasuki alam universiti ketika program yang melibatkan ramai siswa siswi OKU seluruh Malaysia.

Suatu ketika dulu, aku masih boleh berjalan dengan menggunakan tongkat ketika berada di rumah. Berdikari. Segala macam keperluan diri aku boleh lakukan sendiri.

Dan apabila di luar, aku akan menggunakan kerusi roda. Tetapi setelah terjatuh, hari itu dan hari-hari seterusnya, tubuh aku seakan lumpuh sepenuhnya.

Setelah tamat pengajian diploma. Memohon kerja di sebuah syarikat di ibu negara. Nak dijadikan cerita, aku mendapat tawaran kerja di sana.

Perasaan gembira hanya Allah saja yang tahu. Niat aku, doaku dimaqbulkan. Akhirnya aku dapat sedikit sebanyak menanggung perbelanjaan pengajian adikku dan meringankan beban abahku yang ketika itu berusia 62 tahun.

Namun perancangan Allah lebih baik dan sempurna. Pada 26/12/2016, dua hari sebelum temuduga kerja, aku tergelincir jatuh di luar tandas ketika selesai mengambil wudhuk untuk solat subuh.

Tongkat yang aku pakai tergelincir terkena percikan air. Aku terasa seperti ada sesuatu yang terkeluar dari paha aku. Sakit yang teramat sangat. Aku terlantar tidak dapat bergerak. Dan sehingga sekarang masih terlantar.

Ya, sudah dua tahun aku begini. Setahun selepas pembedahan dan aku masih begini. Tatkala sahabat-sahabat aku sudah berada di puncak, dan aku masih begini.

Tatkala sahabat-sahabat aku sudah mampu menyara ibu bapa, dan aku masih begini. Tatkala sahabat-sahabat aku sudah berkeluarga, punyai zuriat penyejuk mata mereka, dan aku masih begini.

Tatkala sahabat-sahabat aku datang melawat dan menjengah aku, ya, kau pun lihat aku masih begini. Mereka sudah mampu mencipta nama, sudah boleh berbiaya, sudah merantau ke serata negara, sudah bahagia berkeluarga.

Namun aku masih begini. Terbujur lesu di atas sebuah katil usang sedang berusaha untuk bernafas dan mengharapkan keajaiban.️

Keluhan hati untuk ma. Abemi hanyalah seorang anak lelaki sulong ma yang punya hati seakan kapas, bukanlah sekeras berlian seperti panglima.

Kadang melihat, mendengar, bercerita tentang keadaan sekeling mengusik hati abemi. Abemi hanya manusia biasa ma. Perasaan ingin itu semestinya ada.

Tapi mungkin dunia masih belum boleh lagi abemi miliki. Mungkin abemi tidak dicipta untuk jangka masa pendek tetapi dicipta untuk jangka masa panjang. Hero tak bergadus.

Sungguhlah abemi bertuah punyai ma dan abah. Kalau bukan didikan abah dan ma, mungkin sekarang abemi menjadi kurang siuman. Tak mampu terima kenyataan. Tak mampu terima takdir.

Sabar, itulah kunci utama sebuah perjalanan hidup. Mengatakannya sudah tentu semudah hembusan nafas. Tapi kebenarannya adalah sesukar menyambung ekor beruang.

Berbuatlah baik kepada sesiapa pun kata abah. Orang akan segan nak buat jahat kalau kita berbuat baik pada mereka.

Saat bersendiri, entah berapa ratus kali bantal ini menyerap peluh yang tidak sedar mengalir dari kelopak mata. Mengenang nasib mengenang dosa.

Namun saat datangnya sahabat-sahabat melawat, menjengah, abemi teringat pesan abah. Abemi cuba buat mereka ketawa walaupun sebenar abemi menangis. Kadang mereka ketawa entah lawak entah tidak #brocuba. Eh, silap. Abemi cuba. Maaf ma.

Ma jangan risau abemi kuat. Air yang keluar dari mata tu bukanlah sebab menangis sedih. Tetapi ia disebabkan mata abemi berpeluh kerana terlampau banyak membaca buku sejarah. Sejarah panglima.

Abemi juga ada abah. Seorang abah terbaik kurniaan Allah kepada abemi. Abah tak pernah merungut ma. Abemi dilapnya, dibersihkanya, dibelainya dengan kasih sayang ma.

Kadang terjatuh pitam di dapur ketika memasak. Ya lah, ketika di usia emas, apa-apa boleh terjadi. Namun abah gagahkan juga tulang rapuhnya itu untuk menghidangkan sesuatu isian perut anaknya yang dia cintai.

Kalaulah diizinkan Allah, abemi berharap dapat menjadi seorang ayah seperti abah. Ya Allah berkatilah hidup abah di atas dunia dan Kau selamatkanlah dia di akhirat kelak.

Dan semoga penderitaan hidup dia kini segera berakhir. Ma beruntung punya suami seperti abah. Dan abah juga beruntung punya isteri seperti ma. Very loving each other.

Aku tahu hari untuk impian aku tercapai akan tiba. Hanya perlu tunggu dan berusaha.

Apa yang telah ditakdirkan untukmu akan hadir walaupun ia berada di bawah dua gunung, dan apa yang tidak ditakdirkan untukmu tidak akan hadir walaupun ia berada di antara kedua bibirmu, dan itulah REZEKI.

Aku juga tahu sesuatu perkara yang terjadi sudah pasti ada hikmahnya. Aku punya abah yang terbaik. Aku punya family yang terbaik. Aku punya sahabat-sahabat yang terbaik.

Apa lagi yang ingin aku sedihkan? Kejayaan pasti datang cuma masanya belum sesuai. Telurnya masih belum matang. HERO TAK BERGADUS.

Impian utama aku adalah ingin mengerjakan haji bersama abah. Aku mohon kalian doakanlah bersama semoga ia maqbul dan aku berterima kasih.

Semoga hidup aku, hidup abahku, hidup adik-adikku, hidup kedua nendaku, hidup kesemua ibu dan bapa saudaraku, hidup saudara-maraku, hidup sahabat-sahabatku, hidup kalian dan hidup seluruh umat manusia sentiasa dalam berkat, dimurahkan rezeki, dipermudahkan hidup dan dalam lindungan Allah subhanahu wa ta’alaa.

Semoga juga aku lekas sembuh dan jalani kehidupan seperti sedia kala. Dan semoga hidup kita semua diberkati Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fakrul Hakimi.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.