,

Bingkisan Hati

Biarpun aku tidak berdaya lagi untuk bergerak namun aku cuba mengumpulkan sisa-sisa kudrat yang masih berbaki untuk aku menulis lembaran ini, dengan harapan ianya dapat dibaca oleh teman-teman yang sedang mabuk di alam khayalan dan halusinasi ataupun ianya dapat memberi keinsafan kepada generasi baru yang masih belum mengerti erti kehidupan.

Dulunya aku seorang periang. Aku datang dari sebuah keluarga yang sederhana. Bapaku meninggal ketika usiaku masih kecil. Aku dibesar dan dididik oleh ibu yang sangat penyayang.

Semasa kecil aku diajar sembahyang dan mengaji Quran. Ketika meningkat remaja aku telah tersalah jalan. Aku telah tertipu oleh bisikan dan ajakan syaitan. Aku telah memilih jalan pintas untuk hidup bahagia.

Aku terjerumus ke lembah hina tetapi aku merasainya bahagia, aku menjadi seorang penagih dadah sehingga ianya sebati dengan diriku.

Aku tidak lagi mempedulikan hukum hakam dan halal haram. Apa yang aku tahu aku mesti hidup bersama dadah.

Di sekolah pelajar lemah menjadi mangsaku. Aku mengugut dan membuli mereka untuk mendapatkan wang. Jika aku dihalang sudah pasti buruk padahnya.

Guru yang mengambil tindakan pasti akan merasai penanganku. Bodi keretanya pasti tercalar ataupun keempat-empat tayarnya akan bocor. Aku tidak menyesal apabila aku dibuang sekolah.

Di rumah aku kebas semua barang yang boleh ditukar dengan wang. Barang kemas ibu dan kakak semuanya telahku tukar dengan dadah. Saat yang paling menyayat hatiku dan masih terbayang di ingatanku ialah semasa aku mengacu parang keleher ibu.

Aku meminta ibu menanggalkan kalung emas maskahwin ayah untuk ibu. Mujurlah ibu mendengar arahanku jika tidak aku tidak tahu apa akan terjadi pada ibu.

Segala rintihan dan tangisan ibu aku tidak peduli yang penting aku boleh mendapatkan dadah.

Walaubagaimanapun setiap kali aku dipenjara atau dihantar ke pusat serenti, ibulah orang yang sering menziarahiku.

Kini sudah dua minggu aku terlantar di hospital. Aku telah menerima balasan yang setimpal di atas apa yang aku lakukan selama ini. Aku disahkan menghidap HiV dan kini aku sedang menunggu ajalku pada bila-bila masa sahaja.

Aku sudah merasai segala bentuk kesakitan dan penderitaan… aku sudah seminggu tidak menyentuh makanan. Mulut dan lidahku dinaiki ruam, kulitku menggerutu dengan kudis di sana-sini sehingga aku sendiripun jijik melihatnya.

Aku tidak lagi mengharapkan untuk sembuh kerana aku tahu setiap orang sedang menanti kematianku. Mereka akan gembira kerana meraka boleh hidup aman damai apabila aku tiada.

Aku hanya mengharapkan keampunan daripada Allah biarpun aku sudah lama melupainya. Aku mohon jika diizinkan Allah aku ingin sujud kepadanya sebelum aku meninggal.

Aku juga mengharapkan kemaafan daripada ibu, ayah, adik beradik guru-guru kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang aku telah zalimi. Ya Allah terimalah permintaanku.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh AKBAM (nama pena).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%